Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 8 Mac 2018

Kelantan dapat layanan istimewa di bawah RMK-11

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahya Mamat (kiri) beramah mesra bersama sebahagian daripada hadirin pada Program Taklimat Penjelasan Bajet 2018 Peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaya, Nilam Puri di sini hari ini.
KOTA BHARU: Kelantan terus menerima layanan istimewa menerusi pelbagai projek pembangunan berimpak tinggi yang dibawa masuk oleh Kerajaan Persekutuan.

Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahya Mamat berkata, di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11), Kelantan menerima peruntukan berjumlah RM14.8 bilion untuk me­laksanakan 354 projek pembangunan di seluruh negeri.

Beliau berkata, jumlah peruntukan yang diterima itu meningkat berbanding di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10), sebanyak RM5.36 bilion diperuntukkan untuk me­laksanakan 715 projek pemba­ngunan di Kelantan.

“Menerusi RMK-11 ini, antara projek pembangunan yang sedang dilaksanakan ialah Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai, Jalan Pintasan Pasir Mas dan persimpang­an bertingkat lintasan kereta api Tanah Merah.

“Turut dilaksanakan ialah pembinaan kampus Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Bachok dan Jeli, Hospital Kuala Krai dan Bachok, Ibu pejabat Polis Daerah Pasir Mas dan Bangunan Gunasama Tunjong,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Taklimat Penjelasan Bajet 2018 Peringkat negeri Kelantan di Universiti Malaya, Nilam Puri di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Penerangan Negeri Kelantan, Azhar Ismail dan Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Fiskal dan Ekonomi Kementerian Kewangan, Muhammad Akram Abd Aziz.

Pada program berkenaan, ceramah isu-isu semasa turut disampaikan oleh penceramah bebas, Rujhan Abdul Rahman kepada lebih 200 wakil dari agensi kerajaan di seluruh negeri.
Sumber: Utusan Online | Nasional | 8 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan