Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 16 Mac 2018

9 janji di Bachok akan ditunaikan - TPM


Ahmad Zahid Hamidi menyampaikan replika cek bantuan bencana banjir tahun 2017 di kawasan IADA Kemasin, Semerak di Majlis Bantuan Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama.
BACHOK: Pembinaan hospital dan menaik taraf Pengkalan Petah adalah antara sembilan janji yang akan ditunaikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada penduduk di daerah ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tujuh lagi janji itu adalah pembinaan Kolej Profesional MARA (KPM); kerja menaik taraf Jalan Bukit Marak - Bekelam ke Pengkalan Cina dan membina jambatan merentasi Kemasin di Kampung Pengkalan Ali yang keseluruhannya membabitkan kos melebihi RM300 juta.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan memastikan semua janji berkenaan akan ditunaikan demi penduduk di Bachok.

"Penduduk di Bachok, jangan marah kepada Datuk Dr Awang Adek Hussin kerana saya datang ke sini untuk menyelesaikan masalah yang ada.

"Cukuplah masalah dalaman yang berlaku di Bachok dan perkara itu perlu diselesaikan kerana kita mahu menebus semula maruah di Kelantan, khususnya empat kerusi (Parlimen dan Dewan Undangan Negeri) di Bachok," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Bantuan Sara Hidup Petani dan Nelayan di Pantai Irama, di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Awang Adek yang juga Ketua Bahagian UMNO Bachok.

Pada majlis berkenaan, Zahid turut meluluskan peruntukan sebanyak RM6 juta bagi kemudahan penduduk di daerah ini.

Katanya, peruntukan itu meliputi kos pembinaan dan baik pulih rumah sebanyak RM2.5 juta, baik pulih masjid RM2 juta, pembinaan pejabat Persatuan Nelayan RM1 juta dan bantuan ibu tunggal RM500,000.

"Macam-macam Kerajaan Pusat bagi kepada rakyat Kelantan dan Bachok. Maka, berterima kasihlah kepada kerajaan yang berusaha memberi peruntukan.

"Cukuplah PAS memerintah Kelantan selama 27 tahun. Kali ini berilah peluang kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sumber: Berita Harian Online | Nasional | 16 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan