Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 17 Mac 2018

Lebih banyak projek pembangunan untuk Tanah Merah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama ribuan pengunjung Himpunan Rakyat Tanah Merah di SMK Tanah Merah 1, Tanah Merah hari ini.
TANAH MERAH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah baharu bernilai RM200 juta merupakan antara projek pembangunan yang akan dibawa masuk jika Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi parlimen ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Projek itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Tanah Merah 1, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM10 juta bagi membiayai projek baik pulih masjid, surau, rumah ibadat serta kediaman rakyat selain bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khusus untuk Parlimen ini dan Jeli.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan yang diluluskan itu adalah bukti kecaknaan kerajaan BN terhadap rakyat pelbagai kaum serta penghargaan kepada penduduk di parlimen ini dan Jeli yang sentiasa memberi sokongan padu kepada BN dan UMNO.

”Kerajaan sering dituduh bankrap oleh pembangkang. Hakikatnya kita tidak bankrap dan peruntukan demi peruntukan diluluskan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat ini adalah bukti bahawa kita tidak bankrap.

“Diharap PRU-14 nanti, BN bukan sahaja berjaya mengekalkan Tanah Merah dan Jeli, malah dapat menaikkan majoriti serta menang di keenam-enam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanah Merah dan Jeli,” katanya dalam majlis itu.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 16 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan