Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 5 Mac 2018

Bachok lubuk pelancongan


Hospital Bachok adalah antara projek kerajaan Barisan Nasional yang kini dalam pembinaan dan dijangka siap tahun hadapan.
BACHOK: Menyelusuri perjalanan di pesisiran tiga buah pantai di Bachok iaitu Pantai Melawi, Pantai Irama dan Pantai Senok, hati sudah berbisik betapa indahnya pemandangan di situ bak saujana mata memandang.

Pantai Senok terletak di Tawang mendapat jolokan sebagai ‘Pulau Nami Malaysia’ kerana terdapat banyak pokok Ru tumbuh melata dan bersusun cantik di pesisiran pantai itu.

Cuma, bezanya dengan Pulau Nami yang terletak di Korea Selatan hanya tidak mempunyai salji yang sekali gus menjadi destinasi ‘wajib gambar’ bagi kebanyakan pelancong tempatan mahupun pasangan pengantin yang membuat sesi bergambar.

Namun, aspek kebersihan dan tia­da infrastruktur secara menyeluruh menjadikan kawasan itu gagal menjadi tumpuan pelancongan popular di negeri Kelantan.

Sayang seribu kali sayang, seandainya pantai itu diberi nafas baharu seperti di kebanyakan pantai peranginan terkenal seperti di Te­luk Kemang, Port Dickson, sudah tentu sektor pelancongan mampu memberi impak tinggi pada pertumbuhan ekonomi negeri.

Rata-rata penduduk di kawasan ini merupakan golongan petani dan nelayan. Jika anda ingin melihat suasana perkampungan nelayan molek berkunjung ke Kampung Pengkalan Petah, Tawang.

Pemandangan yang cukup mempesonakan dengan bot-bot nelayan yang ditambat di muara sungai menggambarkan aktiviti harian penduduk kampung di situ.

Selain itu, sawah bendang menghijau yang terbentang luas pasti memberi limpahan rezeki berganda kelak kepada penduduk tempatan apabila Projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) turut dibina sebuah ste­sen di Jelawat, manakala Hospital Bachok yang sedang dalam pembinaan dan dijangka siap pada 2019 pasti­nya merupakan rahmat besar buat penduduk jati di sini.

Sewaktu berhenti rehat di sebuah warung di Kandis, penulis sempat bersembang dengan penduduk kampung di sana.

Ahmad Al-Khuzaini Muhamad, 31, bekerja sendiri meluahkan isi hatinya yang sudah tiga dekad membesar di kawasan Parlimen itu.

Kekesalan yang membuku di hatinya apabila mempersoalkan sumbangan wakil rakyat daripada Pas yang tidak berupaya membangunkan kawasan ini secara konkrit.

“Selama dua penggal Pas pegang kawasan ini, baik di kawasan Parlimen mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN), apa jasa mereka yang boleh kita sebut satu persatu?

“Datuk Dr. Awang Adek Hussin walaupun kalah selama dua penggal berturut-turut, namun, dia tetap berjasa di sini. Malah, kami (penduduk) cukup sayang dan kenal dengan beliau,” luah­nya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Jelas Ahmad Al-Khuzaini, Awang Adek merupakan golo­ngan cerdik pandai yang banyak menjawat jawatan penting dalam kerajaan.

“Beliau pernah jadi Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat, Timbalan Menteri Kewangan dan sekarang ini merupakan Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“Orang seperti inilah yang kita inginkan, walaupun kalah tetap berusaha memikirkan pembangunan untuk rakyat jelata. Contohnya, penubuhan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan tidak lama lagi ada hospital dan laluan ECRL pula,” jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Fokus Kawasan | 5 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan