Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 5 Mac 2018

Limpahan peluang pekerjaan di Tok Bali

Datuk Seri Mustapa Mohamed (tengah) mendengar taklimat mengenai Pangkalan Perbekalan Tok Bali (TBSB) daripada jurutera sambil ditemani Pengerusi TBSB, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (dua kiri) di Tok Bali, Pasir Puteh hari ini.
PASIR PUTEH: Pembangunan projek Pangkalan Perbekalan Tok Bali (TBSB) bakal mewujudkan sehingga 18,000 limpahan peluang pekerjaan di sekitar Tok Bali, di sini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
 
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, sebanyak 3,000 pekerjaan diwujudkan secara langsung menerusi pengoperasian TBSB sejak tahun lalu.

Sementara itu kata beliau, bakinya pula diwujudkan secara tidak langsung menerusi aktiviti hiliran seperti pembangunan sektor pelancongan melibatkan hotel serta restoran.

“Setakat ini, sebanyak RM220 juta telah dibelanjakan untuk projek ini dan dijangka akan meningkat sehingga RM260 juta pada pertengahan tahun ini.

TBSB mempunyai 40 penyedia perkhidmatan dan syarikat. Ia berhasrat menambah sehingga 120 penyedia perkhidmatan dalam beberapa tahun akan datang, selain menjangkakan 600 kapal akan berlabuh tahun ini berbanding 309 kapal pada tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat mengenai projek tersebut di Ibu Pejabat TBSB Sdn. Bhd., di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi TBSB Sdn. Bhd. yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat. 
 
Sumber: Utusan Online | Nasional | 4 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan