Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 17 Mac 2018

RM279 juta diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar Kelantan tahun Ini

MACHANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM279 juta bagi menjalankan pelbagai projek pembangunan luar bandar di Kelantan tahun ini, berbanding hanya RM265 juta tahun lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara projek terbabit ialah projek bekalan elektrik luar bandar yang akan dimulakan pada April depan di enam buah kampung dan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.4 juta.

"Bagi projek lampu jalan kampung, sebanyak 4,060 unit lampu akan dipasang di negeri ini supaya persekitaran kampung bercahaya dan antara lain dapat mencegah berlakunya kejadian jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini, hari ini.

Beliau berkata empat projek pembangunan bekalan air luar bandar telah diluluskan pembinaannya di Kelantan tahun ini, dengan anggaran kos RM42 juta.

Mengenai projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama itu, Ismail Sabri berkata projek yang dijangka siap pertengahan tahun depan tersebut akan memberi tambahan bekalan air bersih terawat kepada kira-kira 10,000 pengguna di kawasan berkenaan yang selama ini menghadapi masalah tekanan air rendah dan bekalan tidak stabil.

Selain itu, katanya kerajaan persekutuan juga telah meluluskan empat projek baharu jalan luar bandar dengan anggaran kos RM68 juta di samping sembilan projek sambungan jalan luar bandar dengan anggaran kos RM368.75 juta yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Peruntukan yang besar diberikan kepada Kelantan adalah demi kesejahteraan rakyat, kerajaan mengambil berat terhadap keperluan asas rakyat walaupun negeri ini ditadbir oleh parti yang tidak sealiran dengan Kerajaan persekutuan (di bawah Barisan Nasional)," katanya.

Sementara itu, Timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Anggota Parlimen Machang, berkata kerajaan persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dengan nasib rakyat Kelantan yang perlu dibangunkan dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka bersyukur dengan pembangunan tersebut dan memberi mandat kepada kerajaan BN untuk melakukan lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.

Sumber: Bernama | 17 Mac 2018

Tiada ulasan:

Catat Ulasan