Lengan Mohd Shah Afiq yang melecur teruk akibat disambar api minyak petrol ketika bermain bersama rakan-rakan. |
PASIR PUTEH: Seorang murid tahun lima Sekolah Kebangsaan Padang Pak Amat di sini, terlantar di rumahnya hampir sebulan selepas sebahagian badannya terbakar akibat disambar api ketika bermain bersama rakan.
Dalam kejadian jam 5.30 petang, pada 17 September lalu, Mohd Shah Afiq Ismail, 11, melecur teruk di bahagian belakang badan, lengan, punggung dan paha.
Bapanya, Ismail Latif, 52, berkata, ketika kejadian, Mohd Shah Afiq bermain bersama rakan di Hutan Gelam yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di Kampung Belakang Kada, Padang Pak Amat, di sini.
"Dia dan rakan-rakannya menggali lubang dan memasukkan daun kering ke dalamnya untuk dibakar menggunakan minyak petrol yang diisi dalam tong minyak pelincir.
"Tindakan mereka itu menyebabkan api menjulang tinggi dan salah seorang rakannya bertindak mengambil tong yang masih mengandungi sebahagian lagi petrol, namun tersimbah ke badan Mohd Shah Afiq," katanya ketika ditemui.
Menurutnya, anaknya berlari pulang ke rumah sambil menjerit kesakitan dengan bahagian belakangnya masih berasap, manakala sebahagian seluar pendek yang dipakainya melekat pada kulit punggungnya.
Mohd Shah Afiq kemudiannya dikejarkan ke Hospital Tengku Anis (HTA) Pasir Puteh untuk rawatan kecemasan sebelum dirujuk ke Wad Kebakaran di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) selama seminggu.
Ismail yang bekerja sebagai tukang rumah berkata, anaknya dibenarkan pulang dan kini terlantar di rumah.
Bagaimanapun, dia perlu menjalani rawatan susulan dua kali seminggu di HUSM.
"Dia sepatutnya menjalani pembedahan hari ini (semalam) tetapi terpaksa ditangguhkan kerana dia merayu kerana tak sanggup menahan sakit," katanya.
Tambahnya, dia tidak mampu menanggung kos rawatan termasuk fisioterapi berterusan bagi memastikan sendi siku kanan anaknya yang kini tegang kembali berfungsi.
"Pendapatan saya tak seberapa, isteri saya pula, Rosnani Mahmud, 49, hanya ambil upah dengan bekerja di kedai berdekatan rumah. Nak beli krim untuk legakan sakit dan hilangkan parut dia pun kami tak mampu.
"Sumber kewangan yang ada hanya cukup untuk beli makanan dan wang saku sekolah dua lagi anak yang masih bersekolah,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubunginya di talian 014-8236070.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan