Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Oktober 2016

Bajet 2017: Kelantan perlukan lapangan terbang antarabangsa dan lebuh raya ekspres

Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan wajar dinaik taraf dan diwartakan sebagai sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk Wilayah Pantai Timur. 
KERAJAAN Persekutuan di Putrajaya diminta memberi perhatian serius akan pembangunan Kelantan dalam Belanjawan Negara 2017 (Bajet 2017) pada 21 Oktober 2016 nanti. Dua perkara yang perlu diberi perhatian adalah infrastruktur lapangan terbang antarabangsa dan lebuh raya ekspres (expressway).  


Lapangan Terbang Antarabangsa 

“Keutamaan kita ialah menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) untuk menjadi lapangan terbang antarabangsa dan mengatasi masalah kesesakan yang bukan hanya di landasan tetapi juga di terminal bagi menampung jumlah penumpang yang kian meningkat pada setiap tahun." - Dato' Sri Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (16 Mei 2015, Jeli, Kelantan). 

Merujuk kepada kenyataan Dato' Sri Mustapa Mohamed pada 16 Mei 2015 di Jeli, Kelantan seperti di atas, Kerajaan Persekutuan perlulah menyegerakan projek pembesaran dan naik taraf LTSIP menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa untuk Wilayah Pantai Timur. Hal ini kerana Wilayah Pantai Timur merupakan satu-satunya wilayah yang masih belum dilengkapi dengan kemudahan lapangan terbang antarabangsa. 

Di Wilayah Utara misalnya terdapat dua buah lapangan terbang antarabangsa, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LIA), manakala masing-masing sebuah lapangan terbang antarabangsa di wilayah-wilayah Tengah, Selatan, Sabah, dan Sarawak, iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Senai Johor Bahru (SIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA). 

Selain pembesaran bangunan terminal sedia ada, pemanjangan landasan LTSIP untuk menampung pesawat berbadan lebar seperti A330-300, B777-200ER, A350-900, dan B747-400 perlu menjadi fokus Kerajaan Persekutuan. Landasan LTSIP patut dipanjangkan daripada 2,400 meter (m) kepada 3,500 m dan bukannya kepada 2,500 m sepertimana yang telah diluluskan Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT). 


Lebuh Raya Ekspres 

Jika dibandingkan dengan negeri-negeri jiran terutamanya Terengganu, Pahang, dan Perak, Kelantan masih lagi jauh ketinggalan dari segi infrastruktur jalan raya dan lebuh raya ekspres. Hal ini kerana Kelantan merupakan satu-satunya negeri di Semenanjung Malaysia yang masih belum mempunyai akses lebuh raya ekspres secara terus dengan ibu kota Kuala Lumpur. 

Sehubungan dengan itu, Kerajaan Persekutuan diminta meluluskan projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Nerus, Terengganu ke Tumpat, Kelantan sebagai melengkapkan rangkaian lebuh raya ekspres nasional menghubungan kesemua ibu negeri di Semenanjung Malaysia dengan ibu kota Kuala Lumpur

Dalam masa yang sama, Kerajaan Persekutuan juga diminta menyegerakan beberapa pakej projek Lebuh Raya Utama Tengah (Central Spine Road) [Lebuh Raya CSR] dari Bentong, Pahang sehingga ke Kuala Krai, Kelantan terutamanya Pakej I, II, IV, dan V, manakala beberapa lagi fasa projek Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai mestilah dimulakan serentak supaya lebuh raya ini dapat digunakan sepenuhnya pada hujung Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11) nanti. 

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan diminta memberi peruntukan yang secukupnya untuk kedua-dua infrastruktur ini demi memastikan Kelantan tidak ketinggalan dari segi kemudahan infrastuktur ketika negara mencapai status negara maju menjelang 2020. 

Sumber: KBBRI | www.kbbri.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan