Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Oktober 2016

Polis selongkar rumah memproses dadah di Pasir Puteh

KOTA BHARU: Polis berjaya membongkar kegiatan memproses dadah jenis heroin selepas menahan tiga lelaki dan seorang wanita dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Gong Kulim, Pasir Puteh 18 Okt lepas. 

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata dalam serbuan pada 3.30 petang itu, polis turut merampas satu guni bahan serbuk putih seberat 26 kilogram yang dipercayai bahan untuk diproses menjadi dadah jenis heroin serta beberapa alat memproses dadah

"Siasatan mendapati sekiranya bahan mentah itu berjaya diproses, ia mampu menghasilkan 26 kilogram heroin yang setiap kilogram mampu mencecah nilai sehingga RM35,000," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. 

Din berkata ujian saringan air kencing terhadap kesemua suspek yang berusia antara 31 dan 57 tahun itu adalah positif dadah jenis Amphetamine. 

Beliau berkata ini adalah kali pertama polis Kelantan berjaya membongkar kegiatan memproses dadah di negeri ini dan pengedar mungkin cuba mengaut keuntungan apabila terdapat permintaan yang tinggi terhadap heroin

"Kemungkinan pihak yang memproses dadah ini belajar cara membuatnya daripada sumber internet dan kita tidak dapat pastikan mutu dadah yang diproses sama ada ia bermutu tinggi ataupun tidak, dan kumpulan ini boleh dikategorikan sebagai 'semi-pro' dalam kegiatan itu," katanya. 

Beliau berkata kesemua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan . 

Sementara itu, Din berkata dalam tempoh seminggu bermula 17 Oktober lepas, operasi membanteras dadah di negeri ini berjaya manahan 457 individu yang disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan dadah termasuk membekal, memiliki, menagih dan mereka yang di bawah Langkah-Langkah Pencegahan Khas

Katanya antara dadah yang berjaya dirampas ialah heroin, ganja, syabu, pil kuda, Erimin 5, ubat batuk, daun ketum yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM96,804 serta menyita harta bernilai RM166,000.

Sumber: Bernama | 25 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan