KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan diminta mewujudkan industri hiliran berkaitan perlombongan emas di negeri itu bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada penduduk.
Datuk Md Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas) berkata potensi itu boleh ditingkatkan memandangkan Kelantan kini menjadi antara negeri pengeluar emas terbesar di negara ini.
"Sepatutnya emas yang dikeluarkan oleh lombong emas di beberapa daerah (termasuk Tanah Merah dan Gua Musang) perlu diproses dahulu sebelum dijual ke negara luar.
"Saya dimaklumkan, kita hanya memproses sebanyak 30 peratus daripada pengeluaran emas dan selebihnya dijual ke negara luar dan ia tidak menguntungkan kerana Kelantan menjual emas mentah," katanya kepada pemberita di luar Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, di sini, hari ini.
Terdahulu pada sesi soal jawab lisan, Md Alwi mengemukakan soalan tambahan berhubung jumlah emas yang dikeluarkan di Kelantan dan justifikasi aktiviti hiliran emas perlu dibuat di negeri itu untuk mengoptimumkan pendapatan dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika menjawab soalan asal dari Datuk Nozula Mat Diah (BN-Paloh) berhubung isu sama berkata Kelantan merekodkan peningkatan pengeluaran emas dari 2010 hingga 2015.
Jumlah pengeluaran emas bagi lima tahun tersebut adalah 3.68 juta gram iaitu 99,000 gram (pada 2010); 228,000 gram (2011); 334,000 gram (2012); 677,000 gram (2013); 929,000 gram (2014) dan 1.3 juta gram (2015), katanya.
Ahmad berkata daripada jumlah itu kerajaan negeri melalui Kelantan Gold Trade Sdn Bhd membeli sebanyak 30 peratus daripada jumlah pengeluaran itu untuk diproses di negeri ini.
Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan