JELI: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan memindahkan seekor gajah jantan liar berusia 20 tahun selepas merosakkan tanaman di kebun yang diusahakan penduduk Kuala Long di sini.
Pengarah Perhilitan Kelantan Mohammad Khairi Ahmad berkata operasi pemindahan gajah seberat dua tan ke Taman Negara Terengganu yang terletak di Tanjung Mentong, Hulu Terengganu hari ini, turut mendapat kerjasama daripada Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Pahang.
"Kami menggunakan dua gajah betina dikenali sebagai Rambai dan Abot yang bertindak sebagai denak bagi menjinakkan gajah liar tersebut untuk dipindahkan ke Taman Negara Terengganu.
"Dua gajah denak tersebut mengiringi gajah jantan tersebut sejauh dua kilometer sebelum pihak kami membawa haiwan liar itu menaiki lori untuk dihantar ke Taman Negara Terengganu hari ini juga," katanya kepada pemberita selepas operasi pemindahan gajah tersebut di sini.
Mohammad Khairi berkata sembilan anggota Perhilitan dan sembilan anggota Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah terlibat dalam operasi selama empat jam bermula 8.00 pagi dan berakhir 12 tengah hari itu.
Beliau berkata pihaknya menerima aduan daripada penduduk pada 28 Sept lepas pada 7.30 pagi dan berjaya menangkap gajah itu pada hari sama ia dilaporkan berkeliaran di kawasan tersebut pada 10.30 pagi.
Katanya gajah jantan itu dipercayai berasal daripada populasi kumpulan gajah dari Gunung Basor, Banjaran Titiwangsa yang seringkali mendatangkan konflik dengan memusnahkan kelapa sawit, pisang dan getah di sekitar Kampung Lawar, Belimbing, Pendok, Salor dan Kuala Long di sini.
Beliau berkata sejak Januari hingga September lepas, pihaknya berjaya menangkap sebanyak lima ekor gajah yang berkeliaran di sekitar kawasan Batu Melintang.
"Kami akan meneruskan operasi memantau dan menangkap baki haiwan tersebut bagi mengelakkan ia merosakkan tanaman yang diusahakan penduduk," katanya.
Sumber: Bernama | 3 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan