Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 2 Oktober 2016

Orang Asli nekad buat sekatan, lori balak tidak dibenar bawa muatan keluar

Sebahagian daripada penduduk Orang Asli membantah pembalakan di kawasan penempatan mereka di Gua Musang, Kelantan semalam.
GUA MUSANG: Lebih 200 penduduk Orang Asli di tiga pos penempatan, di sini bertekad akan terus membuat sekatan kepada lori ba­lak yang keluar masuk di kawasan penempatan mereka sehingga akti­viti pembalakan dihentikan.

Mereka terdiri daripada penduduk di 14 buah kampung di Pos Gob, Pos Pasik dan Pos Simpor.

Mereka juga menafikan tindakan membuat bantahan serta menyekat lori balak sejak 26 September lalu te­lah dipengaruhi oleh pihak tertentu.

Seorang penduduk, Limat Lias, 40, dari Pos Simpor berkata, tindakan tersebut dibuat kerana mereka merasakan sudah lama ditindas oleh pihak berkepen­tingan sehingga alam sekitar di kawasan mereka musnah.

Katanya, mereka mahu kerajaan negeri bertindak segera me­ngawal aktiviti pembalakan di kawasan mereka.

“Sudah hampir seminggu kami berkampung dan membuat banta­han di kawasan ini. Semua lori ba­lak yang mahu bawa keluar ba­lak kami tahan. Mereka hanya boleh bawa keluar jentera kosong sahaja.

“Kami sudah tidak mahu dipermainkan oleh mereka lagi yang menyangka kami mudah diperbodohkan,” katanya kepada pemberita di ka­wasan sekatan mereka, dekat Pos Tohoi di sini hari ini.

Menurutnya terdapat lebih 10 bangsal dibina di kawasan sekatan untuk memudahkan pendu­duk berhimpun.

Jimmy Angah, 41, dari Kampung Kuala Wook pula mahu isu pembalakan yang tidak terkawal di kawasan perkampungan Orang Asli segera diselesaikan.

“Kami tidak akan berundur dan kami percaya semakin ramai penduduk Orang Asli akan keluar berkumpul bagi menyuarakan bantahan mereka.

“Kami tidak dipengaruhi oleh sesiapa. Kami cuma mahu kawasan hutan warisan nenek mo­yang kami terpelihara,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 1 Okt. 2016 | Terbitan 2 Okt. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan