Nik Mohd Azlan (enam, kanan) menerima kunjungan daripada Mohammed Khalifa Al-Tamimi (empat, kiri), semalam. |
KOTA BHARU: Kunjungan hormat dari Universiti Antarabangsa Al-Madinah yang membawa hasrat pembukaan kampus di Kelantan, disambut baik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Timbalan Yang Dipertua Maik, Dr Nik Mohd Azlan Ab Hadi berkata, hasrat tersebut akan dipanjangkan kepada Ahli Lembaga Pengarah Maik, seterusnya kerajaan negeri untuk merealisasikan usaha itu.
“Pihak MAIK teruja dengan kunjungan dan rombongan dari Universiti Al-Madinah dan pada dasarnya, MAIK menerima baik cadangan itu. Apapun perkara ini akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Ahli Lembaga Pengarah dan kerajaan negeri.
“MAIKyakin dengan usaha pembinaan cawangan Universiti Al-Madinah sesuai di Kelantan, malah negeri ini juga mempunyai ramai pelajar pendidikan agama yang mahu melanjutkan pelajaran tinggi,” katanya selepas Majlis Kunjung Hormat Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Al-Madinah, Prof Dr Mohammed Khalifa Al-Tamimi di pejabat Maik, semalam.
Turut hadir, koordinator pertemuan antara Maik, Azzah Muyassarah Asat dan Pegawai Perhubungan Awamnya, Afrizam Drawi @ Md Arif.
Nik Mohd Azlan berkata, dengan usaha ini, sekurang-kurangnya ia dapat mengurangkan kos untuk pelajar meneruskan pengajian ke Timur Tengah dan perkara itu baik apabila universiti datang serta bertapak di sini (Kelantan).
Sementara itu, Mohammed Khalifa Al-Tamimi berkata, Universiti Al-Madinah yang mempunyai 3,500 penuntut daripada 86 negara sangat berharap wujudnya kerjasama di antara universiti, MAIK dan kerajaan Kelantan untuk pembinaan universiti berkenaan.
“Pihak universiti tahu, Kelantan memiliki ramai pelajar Islam dan sekolah Islam, yang mana pelajarnya mahu menyambung pengajian ke universiti ini, tetapi ada yang tidak mampu untuk ke sana kerana kekurangan kos.
“Apabila adanya universiti ini di sini, kita akan membawa guru pakar dari Iraq dan Saudi yang berlatar belakang pengajian Islam untuk membantu pelajar, selain menambah pelajar agama Kelantan untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat doktor falsafah,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 10 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan