KOTA BHARU: Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu di sini meminta syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) menyelesaikan segera masalah bekalan air yang dihadapi balai tersebut dan kuarters anggotanya.
Ketua balai, Penguasa Bomba Kanan Zaini Bidin berkata masalah itu yang berlarutan dan kian meruncing sejak sebulan lalu menyukarkan pihaknya mendapatkan bekalan air untuk kegunaan harian dan memadamkan kebakaran.
"Tekanan air yang rendah dan sering terputus turut mendatangkan masalah kepada 20 keluarga yang mendiami kuarters ini untuk mendapatkan bekalan air bersih," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Zaini berkata bomba terpaksa mengambil air daripada sumber terbuka seperti parit dan sungai untuk persiapan memadamkan kebakaran disebabkan pili bomba tidak mempunyai air.
Beliau berkata berikutan masalah bekalan air bersih itu, sukar bagi bomba membantu orang ramai yang kadang-kadang memohon bantuan mendapatkan bekalan.
"Bekalan air bersih yang sedikit terpaksa dicatu, malah untuk kegunaan seharian kami (penghuni kuarters) seperti minum dan memasak terpaksa membelinya," katanya.
Zaini berkata aduan telah dibuat kepada AKSB mengenai masalah itu.
Sementara itu, AKSB dalam kenyataan berkata siasatan sedang dibuat bagi mengenal pasti punca berlakunya masalah tersebut.
Katanya, AKSB mengesyaki ada paip utama yang pecah di laluan tersebut dan juga terdapat perubahan agihan bekalan air di kawasan berkenaan.
Buat sementara, bekalan air akan disalurkan menggunakan lori tangki hingga masalah itu diselesaikan.
Sumber: Bernama | 5 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan