Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Oktober 2016

Penduduk dakwa bau busuk ketika lalui jalan tempat empat mayat ditemui

BACHOK: Penduduk Kampung Tanjung Hilir dan Kampung Padang Bual, Bekelam yang kerap menggunakan jalan menghubungkan kedua-dua kampung di tempat empat mayat lelaki ditemui petang semalam, mengakui pernah menghidu bau busuk ketika melalui jalan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) Mukim Tanjung Pauh, Azman Mohamad bagaimanapun berkata penduduk menyangka bau busuk itu adalah bangkai haiwan dan tidak mengesyaki empat mayat dihumban di dalam semak-samun di jalan berkenaan.

"Selepas kejadian itu, masing-masing memberitahu takut untuk melalui jalan tersebut yang dipenuhi semak-samun dan agak gelap pada waktu malam kerana hanya ada sebatang tiang lampu jalan di situ.

"Apatah lagi ia bukan membabitkan satu mayat tetapi empat mayat ditemui sekali gus di tempat yang sama," katanya ketika ditemui Bernama di sini, Isnin.

Dalam kejadian kira-kira 6.35 petang semalam, penduduk Kampung Hilir Tanjung, Bekelam di sini, digemparkan dengan penemuan empat mayat yang dicampak ke dalam semak berhampiran jalan kampung itu.

Kesemua mangsa dalam lingkungan umur 20 hingga 30 tahun itu dipercayai telah meninggal dunia sekurang-kurangnya tiga hari lalu.

Sementara itu, Imam Masjid Kampung Tualang Salak, Zulkifli Abdullah, 41, berkata beliau bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan daripada seorang rakannya Hisyamuddin Wan Mohamad, 45, pada 6.30 petang yang merupakan saksi pertama kejadian.

"Sampai di tempat kejadian, saya melihat semua badan mangsa yang lengkap berpakaian sudah menggelembung, pecah perut dan muka tidak dapat dikenali.

"Hisyamuddin memberitahu, dia bersama tiga lagi rakannya menemui mayat tersebut kira-kira 6.15 petang selepas melakukan kerja menuai padi. Ketika dalam perjalanan pulang mereka menghidu bau busuk sebelum menemui empat mayat itu," katanya.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan