Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 1 Oktober 2016

UMK tubuh Tabung Wakaf UMK hujung tahun

Mohd. Hassan Mohd. Osman (dua kiri) menerima replika cek zakat perniagaan RM40,000 daripada Wan Ismail Wan Yusoh di Kampus Kota UMK, Kota Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
KOTA BHARU: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) akan melancarkan Tabung Wakaf pada hujung tahun ini bertujuan mengutip dana untuk pembiayaan infrastruktur dan pendidikan di universiti itu.

Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMK, Prof Dr. Mohd. Hassan Mohd Osman berkata, agenda wakaf me­ru­pakan satu inisiatif baharu ke arah kemandirian kewangan universiti awam (UA) seperti garis panduan dalam ‘Purple Book’ yang ditetapkan Kementerian Pengajian Tinggi.

Beliau berkata, aspek perbe­lanjaan yang semakin meningkat di samping kekangan bajet daripada kerajaan adalah cabaran besar untuk UA seperti UMK yang masih dalam proses pembangunan bagi memperlengkap dan menghidupkan ekosistem sebagai pusat akademik peringkat tertinggi.

“Kita kekurangan sumber kewangan, malah kita masih menyewa bangunan asrama dan pusat akademik juga tidak mencukupi, apatah lagi dengan keadaan ekonomi sekarang ini pembiayaan universiti tempatan dibahagikan sama rata antara universiti maka kita perlu mencari dana dan antara caranya melalui wakaf.

“Pihak kami menerusi Pusat Islam UMK telah pun mengadakan pertemuan dan perbinca­ngan dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) dalam usaha mewujudkan tabung wakaf.

“Setakat ini segalanya berjalan lancar dan Tabung Wakaf UMK dijangka dilancarkan hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Wakaf Pendidikan Tinggi 2016 anjuran Pusat Islam bersama Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK di Kampus Kota, UMK di Pengkalan Chepa di sini baru-baru ini.

Mohd. Hassan berkata, tujuan utama seminar tersebut adalah untuk mencari model terbaik bagi penubuhan Tabung Wakaf UMK melalui perkongsian ilmu dengan pelbagai agensi dari seluruh negara termasuk institusi perbankan, universiti dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN).

Pada majlis itu juga, beliau bagi pihak UMK menerima zakat perniagaan RM40,000 daripada Penasihat Perniagaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB), Datuk Wan Ismail Wan Yusoh.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada BIMB kerana memilih UMK untuk menyumbangkan zakat dan ia akan diagihkan sebaik mungkin untuk keperluan dan kebajikan pelajar golongan asnaf,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Yayasan Wakaf Malaysia (YWM) , Datuk Prof. Dr. Sudin Haron berkata, beliau berpendapat Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu mewujudkan Tabung Wakaf Pendidikan peringkat persekutuan bagi menghimpun dan menyalurkan dana kepada semua universiti awam

Beliau berkata, kewujudan tabung wakaf peringkat persekutuan akan menjadi pelengkap kepada tabung wakaf peringkat universiti yang kini sedang dalam proses penubuhan di semua universiti awam.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 29 Sept. 2016 | Terbitan 30 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan