Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 30 Oktober 2016

Kelantan terima layanan istimewa Kerajaan Persekutuan - Mustapa

KOTA BHARU: Kelantan terus menerima layanan istimewa daripada Kerajaan Persekutuan berbanding negeri lain menerusi pelbagai projek fizikal yang dilaksanakan di negeri ini.

Datuk Seri Mustapa Mohamed (BN-Ayer Lanas) berkata tiada mana-mana perdana menteri seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang memberi begitu banyak peruntukan kepada Kelantan terutama di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

"Dalam 'rolling plan' kedua yang baru diluluskan, ada beberapa projek untuk Kelantan seperti Projek Kampung Warisan di Kampung Laut, Tumpat.

"Kita bukan nak dera atau anak tiri (Kelantan) tapi sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita kena lihat kepada peruntukan kewangan (semasa kerajaan Persekutuan)," katanya ketika membahaskan Bajet 2017 Kelantan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di sini, hari ini.

Pada 9 Okt lepas, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu sidang media dipetik sebagai berkata kerajaan Persekutuan membelanjakan RM2.705 bilion untuk membangunkan pelbagai infrastruktur di Kelantan sejak 2015.

Mustapa dilaporkan berkata RM1.1 bilion diperuntukkan bagi membaiki pelbagai infrastruktur seperti hospital, balai polis, jambatan dan kereta api yang rosak dalam banjir besar melanda negeri ini pada 2014.

Sementara baki RM1.605 bilion pula digunakan untuk lima projek di negeri ini seperti pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa (RM430 juta), projek tebatan banjir (RM550 juta), pembinaan bangunan gunasama di Bandar Baharu Tunjong (RM530 juta), Projek Warisan di Kampung Laut, Tumpat (RM55 juta) serta projek pembesaran jalan raya (RM55 juta).

Dalam pada itu, Mustapa turut membangkitkan hal berkaitan alam sekitar di Kelantan dengan meminta kerajaan negeri mengemukakan maklumat yang jelas berhubung aktiviti penerokaan tanah untuk mendapatkan hasil balak dan galian.

Beliau turut menggesa kerajaan negeri untuk merangka dasar perhutanan yang lebih lestari agar pemuliharaan hutan dapat dilakukan dengan lebih mampan pada masa akan datang.

"Kita amalkan tegur-menegur dalam semangat musyawarah kerana isu-isu ini akan hangat dibicarakan dan relevan pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Bernama | 26 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan