RANTAU PANJANG: Benteng banjir dengan kos RM300 juta bakal dibina bermula tahun depan oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi masalah banjir dihadapi penduduk di sini.
Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin, berkata pembinaan benteng itu adalah fasa pertama dan fasa seterusnya akan dilaksanakan selepas itu dengan keseluruhan kos pembinaan RM1.2 bilion.
"Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kerana meluluskan permohonan projek ini yang sangat berfaedah bagi mengatasi masalah banjir setiap tahun.
"Benteng penghadang banjir sepanjang 120 kilometer ini akan dibina di sepanjang sungai dari Jeli hingga ke Tumpat dan dijangka mengambil masa 18 bulan untuk disiapkan.
"Walaupun bencana alam ini tidak dapat diatasi sepenuhnya, namun inisiatif sebegini sekurang-kurangnya menghalang sesuatu yang lebih teruk berlaku," katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Pengurangan Risiko Bencana Universiti Teknologi Malaysia (UTM) 2016, di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, hari ini.
Sementara itu, Pengarah Program Hari Pengurangan Risiko Bencana UTM, Khamarrul Azahari Razak, berkata pihaknya memilih Rantau Panjang sebagai lokasi kajian dalam membantu mengatasi masalah bencana alam terutama banjir.
"UTM bekerjasama dengan Japan International Corporation Agency (JICA) sempena Hari Pengurangan Risiko Bencana Sedunia yang disambut pada 13 Oktober setiap tahun.
"Program ini ialah aktiviti komuniti dan kami membuat kajian serta membantu masyarakat untuk mengatasi dan menghadapi bencana sering menimpa penduduk di sini," katanya.
Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 13 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan