KOTA BHARU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menyita 64 pelbagai kenderaan klon sepanjang Januari hingga September tahun ini, dengan majoriti pemiliknya adalah penjawat awam.
Pengarah JPJ Kelantan Mahasan Mustapa berkata daripada jumlah kes tersebut, sebanyak 24 kes didakwa di mahkamah dan pemiliknya dikenakan denda berjumlah RM258,700 manakala 40 kes lagi dalam perbicaraan.
"Kenderaan yang ditahan majoritinya dimiliki penjawat awam. Mereka berminat terhadap kenderaan mewah kerana ditawarkan dengan harga yang jauh lebih murah terutama kenderaan pelbagai guna (MPV) termasuk Toyota Vellfire dan Toyota Estima.
"Penjual berkenaan menawarkan harga RM20,000 hingga RM30,000 untuk sebuah kereta berbanding harga sebenar mencecah RM200,000 dan keadaan itu mendorong ramai penjawat awam membelinya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Lima Unit MPV Ford Ranger dan Motosikal Kawasaki di JPJ Kelantan di sini, hari ini.
Penyerahan kenderaan tersebut bagi memudahkan tugas rondaan anggota JPJ termasuk di pejabatnya di Kuala Balah, Jeli; Bukit Jawa di Pasir Puteh; Labok di Machang; Laloh di Kuala Krai; dan Panji, Kota Bharu.
Mahasan berkata penjawat awam yang ditahan kebanyakannya memberikan alasan tidak mengetahui memiliki kenderaan klon adalah satu kesalahan bagi mengelak dikenakan tindakan.
"Sepatutnya pelanggan perlu bertindak bijak sebelum membuat keputusan untuk membeli kenderaan di pasaran.
"Mereka boleh mendapatkan khidmat nasihat dengan datang terus ke JPJ jika menghadapi situasi seperti itu. Ini kerana jika kereta ditahan, pemilik akan mengalami kerugian berlipat kali ganda," katanya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika mahu membeli kereta mewah yang dijual secara langsung dengan harga murah.
Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan