Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 31 Oktober 2016

KPDNKK Kelantan sita kilang pembungkusan minyak masak di Pengkalan Kubor

TUMPAT: Sebuah kilang pembungkusan minyak masak di Pengkalan Kubor di sini, disita Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan selepas disyaki menjual barangan bersubsidi itu kepada pihak tertentu di negara jiran.

Pengarah KPDNKK Kelantan Datuk Ab Ghani Harun berkata pihaknya melakukan serbuan itu pada pukul 12.30 tengah hari tadi selepas menerima maklumat dan risikan mengenai kegiatan penjualan minyak masak ke negara jiran.

"Sebanyak 765 kilogram (kg) bungkusan minyak serta 20,650 kg yang disimpan di dalam tangki dengan anggaran nilai sebanyak RM52,000 dirampas.

Kami terpaksa menyita kilang tersebut dan sebuah mesin pembungkusan bernilai RM80,000 serta merampas minyak yang sudah siap dibungkus," katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Ab Ghani berkata kegiatan itu pada masa yang sama menyebabkan berlakunya ketirisan dan kesukaran penduduk tempatan memperoleh minyak masak.

Beliau berkata kes berkenaan akan disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya KPDNKK akan terus melakukan pemantauan khususnya di kawasan sempadan Malaysia-Thailand di negeri ini bagi mengelak wujudnya kegiatan seperti itu yang menyebabkan kerugian kepada negara.

Sumber: Bernama | 31 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan