BACHOK: Lapan individu termasuk lima pelajar aliran agama dari Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) ditahan akibat kesalahan dadah dalam serbuan di Nilam Puri, awal pagi semalam.
Semua suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kota Bharu jam 4 pagi.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail, berkata menerusi serbuan berkenaan, polis turut merampas 580 biji pil kuda, sembilan liter air ketum dan 0.5 gram daun ketum membabitkan nilai keseluruhan RM12,000.
Katanya, ketika serbuan dilakukan, semua suspek berada di ruang tamu, bilik dan dapur rumah berkenaan cuba melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak polis, namun berjaya dihalang.
"Sejumlah dadah berkenaan disembunyikan dalam periuk dipercayai untuk kegunaan sendiri," katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid An Naim, Jelawat, di sini, hari ini.
Abdul Rahman berkata, hasil ujian air kencing mendapati semua mereka negatif dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Terdahulu, Ab Rahman menarik perhatian hampir 1,000 jemaah apabila menyampaikan khutbah Jumaat di masjid berkenaan yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Bachok, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Datuk Ab Aziz Abdullah.
Khutbah yang disampaikan selama setengah jam itu memperkukuh hubungan polis dan masyarakat bagi menangani jenayah di negeri itu.
Sumber: Berita Harian | Wilayah Timur | 13 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan