Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 2 Oktober 2016

Polis Kelantan lancar Operasi Kampung ke Kampung

Suzaimi (kanan) mengetuai pasukan serbuan memeriksa sebuah kereta dalam Ops Kampung ke Kampung di Kampung Padang Siam, Tanah Merah.
TANAH MERAH: Polis Kelantan melancarkan Ops Kampung ke Kampung selama dua hari di tiga daerah di negeri ini dalam usaha membanteras jenayah dan masalah dadah, bermula kelmarin.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata, operasi tersebut melibatkan 15 kampung atau masing-masing lima kampung di Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.

Menurutnya, operasi bersepadu itu turut melibatkan beberapa agensi kerajaan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta anggota masyarakat.

“Dalam operasi ‘Ops Village to Village’ ini, kita tekankan bukan sahaja aspek jenayah tetapi juga masalah dadah secara bersepadu,” katanya pada sidang akhbar selepas menyertai operasi itu, di sini, kelmarin.

Turut serta Pengarah AADK Kelantan, Ibrahim Ab Ghani, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Mohamad Fakri Che Sulaiman dan Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintenden Suzaimi Mohamad.

Dalam operasi itu, Ab Rahman turut bersama menyertai serbuan ke atas dua rumah di Kampung Padang Siam dan Batu 6 serta operasi sekatan jalan raya berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Cheng, dekat sini.

Seramai 177 petugas terlibat termasuk 16 pegawai polis, 32 pegawai pangkat rendah, 52 anggota Polis Sukarelawan Simpanan (PVR), 25 ahli Skim Rondaan Sukarelawan (SRS) dan masing-masing 23 anggota AADK dan Rela terlibat dalam operasi itu. 

Ab Rahman berkata, operasi bersepadu itu diketuai Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Ibu pejabat Polis Kontinjen Kelantan, manakala kes dadah diletakkan di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik.

“Operasi melibatkan sekatan jalan raya, serbuan dan pemantauan oleh Unit Kereta Peronda (MPV). Kejayaan ‘Ops Village to Village’ di tiga daerah ini akan kita umumkan selepas operasi ini berakhir lusa (hari ini),” katanya.

Mengenai operasi di Tanah Merah, Ab Rahman memberitahu, operasi membabitkan enam serbuan, dua sekatan jalan raya bagi mengesan apa juga kesalahan dan tiga MPV yang melakukan pemantauan jenayah.

“Dua serbuan yang saya sertai kedua-duanya berkaitan kes dadah. Serbuan dibuat berdasarkan maklumat orang awam. Berjaya atau tidak, kita cuba buat serbuan,” ujarnya.

Tambahnya, selain memerangi jenayah ‘dari rumah ke rumah’, operasi bersepadu itu juga bagi mendekatkan polis dengan masyarakat dan memperlihatkan kehadiran pasukan berkuasa itu dalam komuniti.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 2 Okt. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan