BENTONG: Pelaksanaan projek rel baharu East Coast Rail Line (ECRL), yang menghubungkan Lembah Klang ke Pantai Timur sepanjang 600 kilometer, bakal melonjakkan lagi ekonomi di tiga negeri wilayah berkenaan termasuk bandar-bandar kluster sepanjang landasan itu.
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Ting Lai berkata projek itu bakal menjadi melengkapkan kerancakan ekonomi di Pantai Timur ketika ini khususnya di Pahang.
"Pasa masa ini, kita mempunyai banyak aktiviti ekonomi yang giat membangun termasuk Taman Industri Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Kuantan dan projek pendalam Pelabuhan Kuantan untuk menjadikannya sebagai antara pelabuhan utama di negara ini tahun depan.
"Projek ECRL beri peluang kepada Pelabuhan Kuantan untuk berkembang lebih pesat apabila kontena dari Pantai Timur mudah dibawa ke Pelabuhan Klang, Selangor dan begitu juga sebaliknya.
"Ini bakal menjadikan ECRL antara nadi utama kepada lonjakan dan pertumbuhan ekonomi Pantai Timur pada masa akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Jalan Raya di Plaza Tol Bentong sempena Deepavali.
Dalam pembentangan Bajet 2017 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pelaksanaan projek itu secara berfasa dengan melibatkan laluan dari Pelabuhan Klang, ITT Gombak, Bentong, Mentakab, Kuantan, Kemaman, Kerteh, Kuala Terengganu, Kota Bharu dan berakhir di Tumpat.
Pembinaan ECRL berkenaan dijangka bermula pada tahun depan dan siap pada 2022 dengan anggaran kasar kos sebanyak RM55 bilion seperti yang diumumkan Najib.
Liow juga menyambut baik langkah kerajaan memperkenal Skim PERKESO kepada pemandu teksi individu yang berpendapatan sehingga RM3,000 sebulan dengan geran pelancaran RM60 juta.
"Ini jelas membuktikan keprihatinan kerajaan dan ia bakal memberi manfaat serta perlindungan kepada ramai pemandu teksi selama ini terdedah dengan risiko kemalangan jalan raya," katanya.
Beliau berkata galakan kerajaan kepada golongan B40 untuk menjadi pemandu 'ride-sharing' seperti pemandu UBER juga mampu melengkapkan lagi sistem pengangkutan di negara ini selain dapat meningkatkan pendapatan mereka.
Dalam pada itu, Liow berkata beliau akan mengiringi perdana menteri mengadakan lawatan kerja ke China bagi mengintai teknologi dan kepakaran yang boleh digunakan untuk pelaksanaan projek berkenaan.
"Kita harap China dapat berkongsi teknologi dengan kita dalam usaha untuk mengurang kos pembinaan. Kos sebenar yang terlibat serta maklumat yang lain hanya akan dapat diumumkan selepas lawatan itu," katanya.
Sementara itu, katanya kempen keselamatan jalan raya terutamanya sepanjang musim perayaan besar seperti Aidilfitri, Aidiladha, Tahun Baharu Cina dan Deepavali akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memberi kesedaran terhadap pengguna jalan raya.
"Setiap kali musim perayaan, kerajaan akan mengadakan pelbagai kempen untuk menyedar dan menyelamatkan nyawa kerana lebih 496,000 pengguna jalan raya terlibat dalam kemalangan setahun.
"Lebih 6,706 lagi terlibat dalam kemalangan maut dengan lebih 60 peratus daripadanya merupakan penunggang motosikal. Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi yang berkenaan mengadakan kempen khusus untuk gologan ini termasuk menggalakkan mereka supaya sentiasa mengutamakan keselamatan," katanya.
Sumber: Bernama | 22 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan