KOTA BHARU: Tiga lelaki tempatan dan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan dalam satu operasi di Kampung Tersang, Rantau Panjang hari ini.
Komander AKSEM Kelantan Mohd Asri Yahya berkata tangkapan dilakukan sepasukan unit risik kira-kira 7 pagi tadi ketika kenderaan yang dinaiki sembilan individu itu dalam perjalanan dari Wakaf Che Yeh menghala ke Rantau Panjang, dalam usaha membolosi sempadan negara memasuki Thailand.
"Hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati enam PATI warga Myanmar termasuk seorang wanita, berumur antara 20 dan 40 tahun berada dalam kenderaan itu," katanya kepada pemberita di pejabat Aksem Kelantan di sini, hari ini.
Mohd Asri berkata kesemua PATI berkenaan dipercayai cuba dibawa ke pangkalan haram di Bukit Lata, Rantau Panjang sebelum membolosi sempadan Kelantan-Thailand untuk pulang ke Myanmar.
Beliau berkata kesemua PATI dan tiga warga tempatan itu kemudiannya diserahkan kepada Jabatan Imigresen Kelantan untuk tindakan lanjut.
"Kita tidak menolak aktiviti tersebut didalangi sindiket yang lebih besar bagi mengaut keuntungan daripada bayaran yang dikenakan kepada PATI yang boleh mencecah sehingga RM500 seorang untuk laluan darat sahaja," katanya.
Katanya sindiket tersebut mengupah anggotanya atau tekong darat mengangkut PATI daripada beberapa lokasi sekitar Kota Bharu dengan upah sebanyak RM50 bagi seorang PATI sebelum diuruskan oleh tekong laut sebagai modus operandinya.
Mohd Asri berkata kes tersebut adalah kes keempat Aksem Kelantan melalui Op Cantas yang mula dilaksanakan sejak 20 Okt lepas.
Katanya melalui Op Cantas, Aksem juga berjaya merampas satu juta batang rokok seludup dengan nilai keseluruhan RM689,000 dalam operasinya pada 22 Okt lepas.
"Pada hari sama Aksem turut merampas beras seludup dan sebuah kereta bernilai RM5,200," katanya.
Sementara itu, katanya AKSEM akan mempergiat usaha mengekang penyeludupan minyak masak bersubsidi ke sempadan tersebut berikutan laporan wujudnya bekalan barangan terkawal itu di Thailand.
Sumber: Bernama | 27 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan