Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 3 Oktober 2016

Dua jambatan baharu Malaysia-Thailand: Rancakkan perdagangan rentas sempadan kedua-dua negara

Mustapa Mohamed menyaksikan Nafisah Yunus (dua dari kiri) dan Yukhiro Takizawa bertukar dokumen MoU dalam Seminar Menerokai Pasaran Antarabangsa sempena Pameran Rentas Sempadan ASEAN 2016 di Kota Bharu, Kelantan, semalam.
KOTA BHARU: Penantian rakyat negeri ini untuk melihat dua jambatan baharu yang meng­hubungkan negeri ini dengan selatan Thailand bakal berakhir apabila kerajaan mengesahkan projek tersebut dijadual bermula pada suku ketiga tahun depan.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, dalam pertemuan antara dua kerajaan minggu lalu, kedua-dua pihak bersetuju bahawa dua projek itu perlu diberikan keuta­maan bagi merancakkan perdagangan rentas sempadan.

Katanya, kedua-dua pihak juga bersetuju berkongsi membiayai kos pembinaan jambatan tersebut di kawasan masing-masing.

Projek pertama melibatkan jambatan yang menghubungkan Pengkalan Kubor dengan Tak Bai manakala projek kedua melibatkan pembesaran jambatan Rantau Panjang dengan Golok.

“Kos bagi kedua-dua projek ini belum dimuktamadkan, namun kita bersetuju kongsi kos 50-50 dengan kerajaan Thailand. Saya anggarkan kosnya sekitar RM40 juta bagi pihak Malaysia sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Menerokai Pasaran Antarabangsa sempena Pameran Ren­tas Sempadan ASEAN 2016, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dzulkifli Mahmud.

Pameran tersebut yang ber­lang­sung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Hotel Grand River View (GRV), di sini bertujuan mengetengahkan usahawan tempatan ke persada antarabangsa menerusi aktiviti perdagangan rentas sempadan.

Dalam majlis sama, Mustapa turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Per­sefahaman (MoU) antara Akademi Pantai Timur (APT) dengan syarikat Rohm Wako Electronics (M) Sdn. Bhd.

Menerusi MoU tersebut, APT sebagai sebuah akademi latihan bersetuju melatih golongan belia tempatan sebelum diserap ma­suk sebagai pekerja mahir untuk syarikat Rohm Wako yang merupakan pemilik kilang elektronik terbesar di Kelantan.

APT diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nafisah Yunus serta Pengurusnya, Siti Fatimah Yunus manakala Rohm Wako diwakili Presidennya, Yukhiro Takizawa.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 2 Okt. 2016 | Terbitan 3 Okt. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan