Sungai Belatop kini bertukar warna teh tarik dan tidak dapat diminum masyarakat Orang Asli yang tinggal di tebing sungai itu. |
GUA MUSANG: Tanah Tinggi Lojing (Lojing Highlands) semakin terdedah kepada hakisan. Sesuatu perlu dilakukan segera oleh pihak berkuasa untuk memulihkan kawasan tanah tinggi itu atau berdepan bencana buruk seperti di Ringlet, Cameron Highlands.
Hakikat menyedihkan adalah apabila kegiatan penerokaan tanah secara besar-besaran untuk aktiviti pertanian di Tanah Tinggi Lojing pernah dibangkitkan lebih tiga tahun lalu.
Namun tiada tindakan diambil sejak itu dan pada hari ini, keadaan semakin meruncing dengan tiada sebarang perubahan dilakukan.
Tanah tinggi itu hilang separuh kawasan hutan yang akan mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat orang asli dan spesies jarang ditemui seperti bunga Rafflesia.
Hakisan tanah begitu buruk sehingga air sungai tidak lagi boleh diminum. "Ia amat serius kerana Sungai Belatop adalah hulu sungai di kawasan tanah tinggi itu yang bersambung ke Sungai Brok.
"Terdapat penempatan Orang Asli di sana yang menggunakan air sungai untuk keperluan harian mereka dan Sungai Nenggiri di Kuala Krai sebelum mengalir ke Sungai Kelantan di Kota Bharu," kata Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir, Prof Dr Mohd Ekhwan Toriman.
Beliau menegaskan punca utama pemendapan Sungai Kelantan bermula dari Tanah Tinggi Lojing disebabkan hakisan tanah yang juga faktor utama mengapa sungai itu tidak sesuai membekalkan air di Kelantan.
Kerajaan negeri kini terpaksa bergantung kepada telaga tiub untuk mendapatkan bekalan air di kawasan itu.
Pemendapan serius akibat hakisan tanah di Sungai Belatop di kawasan tanah tinggi bermakna pengurangan kapasiti sungai untuk menampung air.
"Di Sungai Belatop, hujan di beberapa kawasan tertentu boleh menyebabkan banjir lumpur dan sisa buangan yang hanyut akan menjejaskan penempatan orang asli di tebing sungai.
"Lojing perlu dipulihkan segera untuk mengelakkan keadaan bertambah buruk." katanya dalam satu temubual.
Tanah Tinggi Lojing, kata Prof Mohd Ekhwan merupakan tulang belakang Semenanjung Malaysia iaitu sebahagian daripada Banjaran Titiwangsa yang menyumbangkan 60% rizab air di negara ini dan bertindak sebagai petunjuk perubahan iklim.
"Pembangunan yang tidak terkawal akan mengubah kitaran hidrologi air," katanya sambil menambah masih belum terlambat untuk menyelamatkan Tanah Tinggi Lojing.
Menunjukkan peta topografi kawasan tanah tinggi itu, Prof Mohd Ekhwan menegaskan lebih satu perempat daripada kawasan itu berada pada kecuraman antara 25° dan 35°.
"Jika anda letak peta tanah itu sebelah menyebelah, anda akan lihat ia adalah sama dengan kawasan yang dibersihkan untuk tujuan pertanian. "Ini kerana ia dekat dengan rangkaian sungai," katanya.
Puncak bukit Tanah Tinggi Lojing turut ditarah untuk kegiatan penanaman sayur-sayuran terutamanya oleh petani dari Cameron Highlands.
Kebanyakan petani tidak mengikut amaran pengurusan yang baik terutama dari segi pelupusan sisa buangan.
Prod Mohd Said Ekhwan berkata kajian yang dijalankannya menunjukkan kira-kira 26,301 tan sisa buangan dihasilkan setiap tahun.
"Jika banyak sisa buangan dibuang ke dalam sungai, ia akan memberi kesan lebih buruk kepada alam sekitar," katanya.
Sumber: mStar Online | Eksklusif | 2 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan