Tapak perkhemahan di kawasan Gua Cha di Gua Musang, Kelantan yang baru dibaik pulih tidak diselenggara dengan baik. |
GUA MUSANG: Tapak Arkeologi Gua Cha dekat Kuala Betis di sini yang menjadi lokasi penemuan rangka tulang manusia terpanjang di dunia serta pelbagai barangan purba berusia beratus tahun, kini semakin terbiar.
Tinjauan di tempat bersejarah itu mendapati walaupun kemudahan asasnya telah dibaik pulih lebih setahun lalu, namun lokasi itu bakal berdepan kemusnahan teruk apabila tiada penjagaan secara berkala daripada pihak berwajib.
Lebih menyedihkan apabila papan tanda tertera ‘Tapak Arkeologi Gua Cha’ yang baru dibina juga dilihat terbiar tanpa penyelenggaraan dan dipenuhi dengan semak samun.
Seorang penduduk, Mohd. Kamaruddin Awang, 41, berkata, dia berasa bimbang dengan keadaan Gua Cha yang dahulunya menjadi tumpuan pengkaji sejarah, kini semakin hilang seri.
Katanya, sebelum ini kawasan tersebut sering menjadi tumpuan pengunjung kerana keunikan guanya.
“Saya berasa sangat sedih kerana di kawasan inilah rangka manusia terpanjang di dunia yang dipercayai mati dan ditanam dalam gua berkenaan tidak diselia dengan baik.
“Lihat sajalah semak samun yang semakin menutupi pandangan ini yang tidak diselenggara dengan baik oleh pihak berwajib,’’ katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Seorang lagi penduduk, Mohd. Amir Razak, 30, berkata, kawasan ini juga menjadi pilihan untuk aktiviti lasak seperti perkhemahan serta ekspedisi berakit melalui Sungai Nenggiri ke kampung Orang Asli di Pos Tohoi.
Katanya, jika keadaan ini berterusan, tidak mustahil khazanah bernilai itu akan dilupakan dan pelancong tidak lagi berminat ke gua tersebut.
“Saya melihat Gua Musang ini amat kaya dengan tempat bersejarah tetapi kurang publisiti dibuat oleh pihak berwajib.
“Suatu ketika dahulu Gua Cha adalah lokasi yang kerap dikunjungi pengkaji sejarah, tetapi sekiranya dibiarkan dan tidak dibaik pulih, saya yakin ia akan semakin sepi,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 12 Okt. 2016 | Terbitan 13 Okt. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan