Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 22 Oktober 2016

RM12 juta baik pulih permukaan jalan beralun LPT2

KEMAMAN: Sebanyak RM12 juta diperuntuk bagi menyelenggara Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Kedua (LPT2) dengan tumpuan kepada membaiki permukaan jalan beralun di beberapa tempat.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Teknologi Hijau negeri Ir Rosli Othman berkata hasil perbincangan dengan pemegang konsesi lebuh raya itu, kerajaan negeri Terengganu dimaklumkan bahawa proses penyelenggaraan permukaan jalan itu mampu disiapkan sebelum akhir tahun ini.

"Setiap bulan, memang ada mesyuarat khas bersama PLUS... yang terbaharu pada dua minggu lepas, saya dimaklumkan proses penyelenggaraan permukaan jalan telah pun bermula pada Ogos lepas.

"LPT2 memang perlu dibaik pulih terutamanya laluan Kuala Terengganu ke Bukit Besi memandangkan laluan itu sudah siap sejak 10 tahun lepas.

"Kerja-kerja penyelenggaraan ini diharap mampu menyediakan perjalanan selesa dan lancar buat pengguna terutama menjelangnya Tahun Melawat Terengganu 2017," katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Alam Sekitar peringkat Terengganu di Mini Stadium Kerteh di sini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Muhibbah Selamat dan duta JAS Terengganu Muhamed Kareef Daniel Abdullah atau lebih dikenali sebagai Mat Dan.

Mengulas lanjut, Ir Rosli berkata setakat ini, PLUS juga dapat menyelesaikan masalah haiwan ternakan yang berkeliaran di lebuh raya dengan membaiki kerosakan pagar di sepanjang LPT2. 

"Kita harap tiada lagi masalah vandalisme yang berlaku kerana komitmen PLUS ialah memastikan LPT2 selamat digunakan dan menepati kehendak semua pihak," katanya. 

Selain itu, beliau berkata pengguna yang enggan membayar tol juga mempunyai alternatif untuk menggunakan laluan pantai yang dinaik taraf kepada empat lorong dari Kemaman ke Kuala Terengganu. 

Sumber: Bernama | 22 Oktober 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan