KOTA BHARU: UMNO Kelantan akan memperhebat usaha mendekati pengundi terutama yang digolongkan sebagai 'pengundi bermastautin' supaya mereka bersama-sama kerajaan Barisan Nasional (BN) membawa kemajuan di negeri ini.
Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata pengundi bermastautin itu termasuk penduduk kampung, mahasiswa dan pegawai kerajaan yang tinggal di Kelantan.
"Dalam mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Kelantan hari ini, kita ada membincangkan apa yang perlu kita lakukan terutama dalam usaha mendekati pengundi terutama pengundi yang bermastautin di negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Kacau Bubur Mastura 100 Kawah di Dataran KADA Kok Lanas di sini.
Anggota Parlimen Ketereh itu berkata hubungan rapat dengan pengundi amat penting supaya mereka dapat bersama kerajaan BN dalam usaha memajukan Kelantan.
"Kita tahu kerajaan pusat mempunyai rancangan besar untuk Kelantan termasuk membina rangkaian kereta api baharu bagi Pantai Timur; menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa; menyambung pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur hingga ke Kelantan; dan membina dua jambatan baharu di sempadan antara Kelantan dan Thailand," katanya.
Beliau berkata rancangan memajukan negeri itu perlu mengikut arus perdana supaya ia memberi faedah terutama kepada golongan muda selain meningkatkan kemasukan pelaburan dan menyediakan peluang pekerjaan.
Sumber: Bernama | 29 Oktober 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan