Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 12 Oktober 2016

Kolam Air Panas Ber berpotensi tarik pelancong ke Kelantan

Sebahagian agensi terlibat yang membersihkan kawasan Kolam Air Panas Ber yang terletak berhampiran Pos Hendrop, Gua Musang, Kelantan, baru-baru ini.
GUA MUSANG: Kolam Air Panas Ber yang terletak berhampiran kawasan penempatan Orang Asli Pos Hendrop di sini berupaya menjadi kawasan tarikan pelancong.

Menyedari potensi itu, Majlis Daerah Gua Musang (MDGM) bersama jabatan kerajaan di jajahan ini melakukan kerja pembersihan di kawasan tersebut daripada terbiar baru-baru ini.

Setiausaha MDGM, Nik Abdul Halim Nik Hassan berkata, seramai 80 orang ahli terlibat melakukan aktiviti gotong-royong untuk mengindahkan kawasan tersebut.

Katanya, selain MDGM sendiri, jabatan yang terlibat ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

“Tujuan utama program ini adalah untuk menjalin kerjasama antara agensi bagi menjaga kebersihan kawasan persekitaran kolam ini supaya memberi kese­lesaan kepada pengunjung yang datang.

“Dengan suhu 72 darjah celsius, Kolam Air Panas Ber berpotensi sebagai kawasan tarikan geo-pelancongan kerana ini merupakan kolam air terpanas di Kelantan.

“Kawasan itu juga mempunyai tarikan tersendiri dengan keindahan alam semulajadi dan sering menjadi tempat rawatan mereka yang mengalami masalah penyakit kulit serta menyembuhkan sakit badan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Sementara itu, penduduk Orang Asli turut menyokong usaha yang dibuat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut mereka kawasan tersebut perlu dijaga agar tidak terbiar bagi menarik lebih ramai pengunjung.

Seorang penduduk Orang Asli Kampung Hendrop, Mura Angah, 40, berkata, kawasan kolam air panas itu masih belum dikenali oleh orang ramai.

“Kami berharap MDGM menyediakan kemudahan asas secukupnya bagi menarik lebih ramai pengunjung.

“Kawasan ini perlu kerap dibersihkan dan diselenggara untuk mengelak daripada airnya berbau busuk dan kawasannya kotor dengan sampah sarap,” katanya. 

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 10 Okt. 2016 | 11 Okt. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan