Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 24 Mac 2018

FAMA sasar jualan RM2.5 juta pada pesta orkid, flora dan herba

KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.5 juta sempena Pesta Orkid, Flora dan Herba 2018 pada tahun ini.

Pengarahnya Mohd Ariffin Awang berkata sasaran itu mampu dicapai menerusi penjualan kira-kira 10,000 jenis bunga orkid yang ditawarkan pada pesta 10 hari itu yang bermula semalam.

“Pengunjung boleh mendapatkan pelbagai varieti bunga orkid yang dijual dengan harga antara lima hingga 20 peratus lebih murah berbanding harga pasaran,” katanya yang ditemui selepas Pertandingan Gubahan Bunga Bersama Media Sempena Pesta Orkid, Flora dan Herba di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan di Bandar Baharu Tunjung di sini, hari ini.

Katanya selain bunga orkid, flora dan herba, hasil kraf tangan masyarakat Orang Asli dari Gua Musang dan Jeli juga boleh didapati di pesta tersebut.

“Pesta yang bertema ’Segalanya Wanita’ ini menyajikan 20 acara kepada pengunjung seperti persembahan dikir barat, pertandingan nasyid, pertandingan suara emas dan lain-lain serta dibuka kepada orang ramai bermula 10 pagi hingga 10 malam,” katanya.

Sumber: Bernama | Berita Timur | 23 Mac 2018

Selasa, 20 Mac 2018

UMNO Kelantan cadang tubuh Lembaga Kemajuan Kelantan Utara

MACHANG: Badan Perhubungan UMNO Kelantan bercadang untuk menubuhkan Lembaga Kemajuan Kelantan Utara bagi mempercepatkan pembangunan negeri ini sekiranya diberi mandat memerintah Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata cadangan berkenaan kini di peringkat akhir untuk dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional Negeri Kelantan.

"Fungsi Lembaga Kemajuan Kelantan Utara tidak sama dengan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) yang ada sekarang ini.

"Kesedar berasaskan kepada tanaman getah dan kelapa sawit di kawasan Kelantan Selatan (Gua Musang, Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli), manakala Lembaga Kemajuan Kelantan Utara memfokuskan pembangunan di luar dari kawasan Kesedar (termasuk Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas)," katanya.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita pada majlis perasmian Program Jejak Menara Gading dan Amal Jariah di Pusat Transformasi Ilmu, Bukit Tiu di sini, hari ini.

Program berkenaan dirasmikan Naib Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof Emeritus Datuk Dr Hassan Said.

Ahmad Jazlan berkata pihaknya berharap melalui penubuhan lembaga itu, Kelantan akan dapat dibangunkan dengan lebih cepat supaya kemajuannya setanding dengan negeri lain.

"Diharap pada pilihan raya umum nanti, rakyat Kelantan akan memberi peluang kepada Barisan Nasional kembali mentadbir negeri ini bagi meneruskan agenda pembangunan yang dirancang demi rakyat," katanya.

Sumber: Bernama | 18 Mac 2018

Fajer Ibrahim dilantik pengarah teknikal pasukan Kelantan

KOTA BHARU: Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) melantik bekas jurulatih kebangsaan Syria, Fajer Ibrahim sebagai pengarah teknikal persatuan itu bagi meningkatkan prestasi pasukan negeri ini.

Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata pihakya telah menandatangani kontrak bersama Fajer hari ini dan beliau akan bertugas sepanjang Liga Malaysia musim ini.

"Tidak mustahil dalam masa terdekat ini kita akan melantik beliau sebagai ketua jurulatih pasukan Kelantan bagi membantu pasukan menghadapi baki saingan Liga Malaysia," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

KAFA ketika ini memberikan tanggungjawab kepada Pemangku Ketua Jurulatih Yusri Che Lah untuk mengendalikan pasukan Kelantan setelah Sathit Bensoh digugurkan daripada jawatan tersebut.

Bibi Ramjani berkata Fajer akan memulakan tugas baharunya itu mulai minggu ini.

Ditanya kemungkinan berlaku rombakan pemain, beliau akan mengambil kira pandangan Yusri dalam perkara tersebut.

Dalam masa sama, beliau mahu pemain meningkatkan prestasi masing-masing serta memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Fajer membuat perubahan terhadap pasukan Kelantan.

"Kita (KAFA) sebelum ini telah memberikan surat peringatan kepada pemain supaya meningkatkan prestasi mereka," katanya.

Selepas lima perlawanan, Kelantan kini berada pada kedudukan ke-11 liga dengan memperoleh empat mata hasil daripada satu kemenangan, satu seri dan tiga kekalahan manakala piala FA pasukan itu terkandas di pusingan ketiga kepada PKNS FC semalam.

Sumber: Bernama | Berita Timur | 18 Mac 2018

Orang Asli Kampung Sangwai bantah teroka bukit untuk tanam sayur

GUA MUSANG: Lebih 300 penduduk Orang Asli di Kampung Sangwai, tanah tinggi Lojing di sini, akan menghalang pengusaha tanaman sayur daripada meneruskan kerja membersihkan bukit berhampiran kampung mereka kerana dikhuatiri menyebabkan hakisan tanah dan banjir lumpur.

Mereka mengambil tindakan itu bukan sahaja kerana ancaman bahaya tanah runtuh tetapi juga disebabkan kegagalan syarikat melunaskan janji membayar pampasan kemusnahan tanaman akibat ditimbus lumpur kesan kerja-kerja membersihkan bukit yang sama awal Januari lalu.

Seorang penduduk, Itam Gayan, 76, berkata syarikat terbabit seolah-olah tidak menghiraukan keselamatan penduduk yang sekian lama tinggal di kampung terbabit apabila meneruskan kerja menyodok bukit berkenaan.

"Ketika syarikat berkenaan dihalang daripada terus menyodok bukit tersebut dua bulan lalu, keadaan kembali selamat," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Kamarudin Uda, 44, pula berkata penduduk juga menolak bayaran pampasan kemusnahan pelbagai tanaman yang ditimbus hakisan tanah pada Januari lalu sebanyak RM10,000 kerana tuntutan kerugian sebenar adalah RM35,000.

"Peringkat awal perbincangan dengan pengurusan syarikat tanaman sayur itu, mereka bersetuju membayar tuntutan pampasan sebanyak RM35,000 kerana tanaman yang musnah termasuk pokok buah-buahan seperti durian, dokong dan petai sudah mengeluarkan hasil," katanya.

Sementara itu, Anggota Dewan Undangan Negeri Galas, Ab Aziz Yusof berkata penduduk Orang Asli berhak mengambil sebarang tindakan berhubung perkara tersebut kerana membabitkan keselamatan mereka.

"Kita juga hairan dengan sikap syarikat terbabit yang dianggap tidak adil dalam menyelesaikan tuntutan ganti rugi itu kerana penduduk terbabit hilang banyak punca pendapatan berikutan kejadian hakisan tersebut," katanya.

Sumber
: Bernama | Berita Timur | 18 Mac 2018

Isnin, 19 Mac 2018

RM5 juta peruntukan atasi masalah bekalan air di Temangan

Ismail Sabri diiringi Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) memotong reben merasmikan tapak Projek Pembinaan Telaga Tiub Tangki Air Menara 3, Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan , Machang, Kelantan kelmarin.
MACHANG: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara serta pemasangan paip utama di Temangan dekat sini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan projek itu sekali gus akan membantu menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi penduduk di kawasan ber­kenaan.

Beliau berkata, projek tersebut dijangka bermula pada April ini dan dijangka siap pada Ogos tahun hadapan.

“Projek ini akan melibatkan pembinaan empat buah telaga tiub berkapasiti 4 juta li­ter sehari serta pembinaan tangki air menara setinggi 32 meter.

“Apabila projek ini siap, ia bakal memberi manfaat kepada 10,000 pengguna di kawasan Temangan, Kerilla, Pertok, Paloh Rawa, Merbai Labi, Kampung Cina dan kawasan sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancaran Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan, di sini semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jaz­lan Yaakub yang juga Ahli Parlimen Machang.

Tambah beliau, untuk projek berkenaan, sumber bekalan air akan diambil dari loji air di Merbau Condong dan difahamkan loji itu juga akan dinaiktaraf bagi memastikan kapasitinya mencukupi untuk disalurkan kepada pengguna.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Kelantan turut menerima empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan anggaran kos RM42 juta.

“Selain itu, terdapat juga 22 projek-projek kecil BALB dengan anggaran kos RM11.2 juta.

“Kebanyakkan projek kecil ini telah bermula dan dijangka siap secara berperingkat-peringkat mulai penghujung Mei ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 18 Mac 2018 | Terbitan 19 Mac 2018

Machang membangun di bawah BN

Pusat bandar Machang yang menjadi tumpan penduduk Machang membeli-belah.
MACHANG: Machang ibarat tulang belakang Kelantan kerana terletak di tengah-tengah negeri ini. Di sebelah utaranya ialah Kota Bharu manakala selatannya pula Kuala Krai. Pasir Puteh menjadi jirannya di sebelah timur dan Tanah Merah berada di sebelah barat.

Menariknya, ‘tulang belakang’ Kelantan ini bukanlah kubu kuat siapa-siapa. Sejarah menyaksikan kerusi Parlimen Machang sering bertukar tangan antara wakil rakyat Barisan Nasional (BN) dan Pas sejak 28 tahun lalu.

Keadaan itu bagaimanapun sedikit sebanyak menyebabkan Machang agak ‘terkontang-kan­ting’ dalam soal menerima pembangunan, berbanding kawasan lain di negeri lain.

Selepas BN mengambil alih sekali lagi Parlimen Machang daripada Pas dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), nasib rakyat di kawasan ini sedikit demi sedikit berubah menjadi jauh lebih baik berbanding era sebe­lumnya.

Keputusan rakyat memilih Ketua UMNO Bahagian, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub sebagai Ahli Parlimen adalah tepat, lebih-lebih lagi beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, dua tahun selepas itu.

Antara legasi awal Ahmad Jaz­lan ialah mewujudkan Pusat Transformasi Ilmu di kediamannya sendiri di Bukit Tiu.

Dalam tempoh masa singkat, pusat itu kini menjadi hab pendidikan terpenting anak Machang di peringkat rendah, menengah dan tinggi yang tidak pernah sunyi dengan penganjuran pelbagai aktiviti berasaskan pendidikan.

Turut diberi tumpuan beliau ialah usaha membaik pulih serta menaik taraf kemudahan asas dan infrastruktur awam terutama terutama jalan-jalan luar bandar, sistem perparitan serta pembinaan lebih banyak klinik desa di seluruh kawasan Machang.

Projek-projek lain diterima Ma­chang termasuklah pembinaan 418 unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan kos RM75 juta, jambatan baharu di Kampung Joh yang meng­hubungkan Machang dengan Tanah Merah (RM60 juta) serta Kom­pleks Perpaduan Machang (RM10.6 juta).

Kerajaan Persekutuan juga telah meluluskan permohonan pembinaan masjid baharu dan membaik pulih hampir 10 buah masjid serta madrasah di seluruh Parlimen Machang dalam tempoh lima tahun ini dengan kos lebih RM10 juta.

Baru-baru ini pula, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara serta pemasangan paip utama di Temangan bagi mengatasi masalah bekalan air bersih di Parlimen ini.

Kunjungan Perdana Mente­ri, Datuk Seri Najib Razak ke Machang pada Ogos tahun lalu juga membawa khabar gembira untuk warga Machang apabila beliau meluluskan peruntukan tambahan lebih RM8 juta bagi pembangunan di Parlimen ini.

Peruntukan itu membabitkan projek pembinaan jalan per­hubungan desa berjumlah RM5 juta, program ameniti sosial bernilai RM2 juta dan projek khas membaik pulih masjid serta musala berjumlah RM1.53 juta.

“Berdasarkan rekod, keraja­an Persekutuan menyalurkan le­bih RM300 juta peruntukan ba­gi membiayai projek prasarana dan infrastruktur di parlimen ini dalam tempoh empat tahun ke­belakangan ini.

“Ini satu bukti Parlimen Ma­chang terus menerima perhatian khusus oleh kerajaan Persekutuan dan kita jamin akan ada lebih ba­nyak projek pembangunan berimpak tinggi bakal menyusul selepas ini,” kata Ahmad Jazlan.

Beliau juga berkata, Jajahan Machang akan diwartakan sebagai sebahagian daripada wilayah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) jika BN diberi peluang memerintah Kelantan selepas PRU-14.

“Yang penting mulai sekarang rakyat terutama pengundi Machang perlu memberi soko­ng­an penuh jika mahu perancangan itu dapat dilaksanakan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 18 Mac 2018 | Terbitan 19 Mac 2018

Ahad, 18 Mac 2018

Peruntukan RM500,000 naik taraf Masjid Mukim Pulau Lima

PASIR PUTEH: Kerajaan Persekutuan hari ini meluluskan peruntukan sebanyak RM500,000 untuk menaik taraf Masjid Mukim Pulau Lima di sini.

Imam tua masjid berkenaan, Abdul Ghafar Awang, 81, berkata berita gembira itu disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang meluangkan masa untuk solat Jumaat di masjid berkenaan selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jentera Pilihan Raya ke-14 (PRU14) Parlimen Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah di sini, hari ini.

"Antara naik taraf yang akan dilakukan ke atas masjid ini ialah menyiapkan pembinaan menara dan memperbesar ruang solat berikutan pertambahan penduduk," katanya ketika ditemui pemberita selepas solat Jumaat di sini, hari ini.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang dalam rangka lawatan kerja selama sehari ke Kelantan hari ini menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan yang diimamkan Penolong Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh Suhaidi Ismail.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki turut mengambil kesempatan membaca khutbah pada solat berkenaan.

Hadir sama, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh Datuk Zawawi Othman.

Mengulas lanjut, Abdul Ghafar berkata projek naik taraf masjid berkenaan akan dilaksanakan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada kira-kira 1,000 jemaah yang tinggal di beberapa kampung dalam mukim berkenaan.

"Syukur dan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang sentiasa mengambil berat mengenai pembangunan syiar Islam," katanya.

Sumber: Bernama | Berita Timur | 16 Mac 2018

Majlis pengenalan pasukan LTdL 2018 meriah

LANGKAWI: Majlis pengenalan 22 pasukan yang bertanding pada perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2018 berlangsung penuh meriah di Dataran Lang, Kuah, di sini, malam ini.

Majlis berkenaan disempurnakan oleh Anggota Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad, yang turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Belia dan Sukan, Nik Abdul Kadir Nik Mohammad.

Acara itu turut diserikan dengan persembahan daripada unit kebudayaan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada).

Sejumlah 132 pelumba mewakili 22 pasukan berstatus jelajah profesional dunia, profesional benua, benua dan pasukan kebangsaan bakal memberikan saingan sengit pada edisi kali ini yang akan meliputi jarak keseluruhan perlumbaan 1,341km, membabitkan lapan negeri di Semenanjung Malaysia.

LTdL 2018 akan bermula dari Kangar ke Kulim dengan jarak 147.9 kilometer (km); diikuti laluan Gerik - Kota Bharu (208.3 km); Kota Bharu - Kuala Terengganu (166 km); Dungun - Pekan (177.6 km); Bentong - Cameron Highlands sejauh 169.4 km dengan pendakian berstatus Hors di Tanah Rata; Tapah - Tanjung Malim (108.5 km); Nilai - Muar (222.4 km) dan tamat di Dataran Merdeka menerusi laluan Rembau - Kuala Lumpur (141.1 km).

Sumber: Bernama | Berita Utara | 16 Mac 2018

Bandar Sungai Golok selamat dikunjungi

Datuk Abdullah Mat Yasin (tiga kiri) bersama rombongan yang berkunjung ke Golok, Narathiwat sempena Lawatan Inovasi Bersama Media 2018 hari ini. 
NARATHIWAT: Rakyat negara ini yang mahu bertandang ke pekan Golok, di sini tidak perlu khuatir kerana tahap keselamatan kawasan pelancongan itu sentiasa dipertingkatkan.

Ketua Jajahan Golok, Precha Nuan Noey berkata, tahap keselamatan di Golok merupakan salah satu perkara yang diberikan keutamaan oleh kerajaan Thailand.

“Saya beri jaminan pekan ini 100 peratus selamat dari ancaman keganasan dan pelancong dari Malaysia tidak perlu takut untuk ke mari.

“Kawalan keselamatan di kawasan ini sentiasa diperketatkan dan dikawal 24 jam oleh anggota pasukan keselamatan yang bertugas,” katanya selepas menerima Lawatan Inovasi Media 2018 di Sungai Golok hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin dan Pengarah Penerangan negeri, Azhar Ismail.

Pekan Golok merupakan salah satu pintu masuk utama dari Kelantan ke Thailand selain Takbai di Tumpat dan Buketa (Jeli).

Sumber: Utusan Online | Pelancongan | 17 Mac 2018

Kerajaan sumbang RM60,000 untuk dewan serbaguna masyarakat Siam Pasir Mas

PASIR MAS: Kerajaan Persekutuan menyumbang RM60,000 bagi menyiapkan dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat Siam di Wat Utthamaram, Kampung Teresek, Repek di sini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sumbangan berkenaan menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan masyarakat Siam yang sudah sekian lama memberikan sokongan kepada kerajaan.

"Sebagai rakyat negara ini, meskipun masyarakat Siam adalah golongan minoriti, mereka tidak pernah dipinggirkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Memperkasakan Agenda Masyarakat Siam Kelantan anjuran Persatuan Wanita Siam Kelantan di wat berkenaan di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Bahagian UMNO Rantau Panjang Datuk Abdullah Mat Yassin dan Pengerusi Persatuan Wanita Siam Kelantan, KC Ngiam Eh Kuan.

Ismail Sabri berkata masyarakat Siam kurang mendapat pendedahan mengenai pelbagai program yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk rakyat kerana banyak maklumat yang tidak sampai kepada mereka.

"Bagi menyelesaikan masalah ini kita akan cuba membawa pelbagai agensi kerajaan kepada masyarakat Siam agar mereka lebih terbuka menerima maklumat dan tahu apa program yang dijalankan oleh kerajaan," katanya.

Sementara itu, KC Ngiam berkata masyarakat Siam amat menyokong dasar kerajaan dan sentiasa berdiri teguh di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata masyarakat Siam di negeri itu berharap kerajaan akan terus memberi peluang untuk mereka menceburi bidang pendidikan, ekonomi dan industri kecil dan sederhana.

Sumber: Bernama | 17 Mac 2018

Sabtu, 17 Mac 2018

Pembangunan luar bandar: Kelantan terima peruntukan kedua tertinggi

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) melihat pelan bagi Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini hari ini.
MACHANG: Kelantan menerima peruntukan pembangunan sebanyak RM265 juta tahun ini daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar, iaitu kedua tertinggi selepas Pahang.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peruntukan pembangunan yang diterima itu meningkat sebanyak RM14 juta atau 5.62 peratus berbanding tahun lalu.

Beliau berkata, selain peruntukan tersebut, turut diluluskan empat projek baharu iaitu pembinaan jalan luar bandar dengan anggaran kos sebanyak RM68 juta.

"Kementerian juga meluluskan sebanyak RM5.4 juta untuk Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) negeri ini selain RM100 juta lagi untuk projek jalan kampung.

"Selain itu, turut diluluskan empat projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) dengan anggaran kos RM42 juta dan 22 projek kecil BALB dengan anggaran RM11.2 juta," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Projek Pembinaan Telaga Tiub, Tangki Air Menara dan Pemasangan Paip Utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

Projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama itu melibatkan kos sebanyak RM5 juta dan dijangka siap Ogos tahun depan.

Ismail Sabri berkata, segala peruntukan serta projek pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini telah membuktikan tuduhan kerajaan Pusat tidak mempedulikan Kelantan adalah tidak benar.

Sumber: Utusan Online | 17 Mac 2018

Zon perdagangan Rantau Panjang - Bandar Sungai Golok antara manifesto BN Kelantan

Datuk Abdullah Mat Yasin (tiga dari kiri) bersama rombongan yang berkunjung ke Bandar Sungai Golok, Narathiwat sempena Lawatan Inovasi Bersama Media 2018 hari ini.
NARATHIWAT: Zon perdagangan antara Rantau Panjang dan Bandar Sungai Golok akan diwujudkan sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi parlimen Rantau Panjang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yasin berkata, perkara tersebut disudah dimasukkan dalam manifesto parti untuk kawasan berkenaan.

Menurutnya, Rantau Panjang mempunyai pelbagai sumber yang boleh dimajukan terutama dalam sektor pelancongan dan merupakan pintu masuk ke negeri ini.

“Apabila kita berjaya majukan Rantau Panjang, secara tidak langsung Golok akan turut sama menikmati tempiasnya.

“Oleh sebab itu kita kena wujudkan hubungan dagang antara kedua-dua kawasan yang mampu merancakkan lagi perkembangan ekonomi setempat,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Lawatan Inovasi 2018 Bersama Media ke Selatan Thailand.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kelantan Azhar Ismail dan Ketua Jajahan Golok Precha Nuan Noey.

Sumber: Utusan Online | 17 Mac 2018

RM279 juta diperuntukkan untuk pembangunan luar bandar Kelantan tahun Ini

MACHANG: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM279 juta bagi menjalankan pelbagai projek pembangunan luar bandar di Kelantan tahun ini, berbanding hanya RM265 juta tahun lepas, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata antara projek terbabit ialah projek bekalan elektrik luar bandar yang akan dimulakan pada April depan di enam buah kampung dan melibatkan peruntukan sebanyak RM5.4 juta.

"Bagi projek lampu jalan kampung, sebanyak 4,060 unit lampu akan dipasang di negeri ini supaya persekitaran kampung bercahaya dan antara lain dapat mencegah berlakunya kejadian jenayah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan tapak projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama di Kampung Pasir Senor, Temangan di sini, hari ini.

Beliau berkata empat projek pembangunan bekalan air luar bandar telah diluluskan pembinaannya di Kelantan tahun ini, dengan anggaran kos RM42 juta.

Mengenai projek pembinaan telaga tiub, tangki air menara dan pemasangan paip utama itu, Ismail Sabri berkata projek yang dijangka siap pertengahan tahun depan tersebut akan memberi tambahan bekalan air bersih terawat kepada kira-kira 10,000 pengguna di kawasan berkenaan yang selama ini menghadapi masalah tekanan air rendah dan bekalan tidak stabil.

Selain itu, katanya kerajaan persekutuan juga telah meluluskan empat projek baharu jalan luar bandar dengan anggaran kos RM68 juta di samping sembilan projek sambungan jalan luar bandar dengan anggaran kos RM368.75 juta yang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan.

"Peruntukan yang besar diberikan kepada Kelantan adalah demi kesejahteraan rakyat, kerajaan mengambil berat terhadap keperluan asas rakyat walaupun negeri ini ditadbir oleh parti yang tidak sealiran dengan Kerajaan persekutuan (di bawah Barisan Nasional)," katanya.

Sementara itu, Timbalannya Datuk Ahmad Jazlan Yaakub yang juga Anggota Parlimen Machang, berkata kerajaan persekutuan yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin dengan nasib rakyat Kelantan yang perlu dibangunkan dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, beliau berharap mereka bersyukur dengan pembangunan tersebut dan memberi mandat kepada kerajaan BN untuk melakukan lebih banyak lagi kemajuan di negeri ini.

Sumber: Bernama | 17 Mac 2018

Pemerkasaan pelancongan, perdagangan antara tawaran UMNO bahagian Rantau Panjang

NARATHIWAT: Pemerkasaan sektor pelancongan dan perdagangan adalah antara inti pati manifesto UMNO Rantau Panjang pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Ketuanya Senator Datuk Abdullah Mat Yassin berkata kedua-dua perkara berkenaan boleh direalisasikan kerana Rantau Panjang bersempadan dengan bandar Sungai Golok di sini yang terkenal dengan kedua-dua aktiviti berkenaan sejak sekian lama.

"Kalau Barisan Nasional (BN) berjaya mengambil alih pentadbiran kerajaan Kelantan daripada pembangkang ketika ini, saya yakin kedua-dua hasrat berkenaan boleh direalisasikan.

"Kita boleh tarik pelabur-pelabur dari Thailand untuk membuka pelbagai kilang di Rantau Panjang dan di kawasan Rantau Panjang sendiri kita boleh galakkan aktiviti pelancongan serta kebudayaan sekali gus boleh menarik lebih ramai pelancong ke kedua-dua kawasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita bersempena Lawatan Inovasi 2018 anjuran Jabatan Penerangan Kelantan ke selatan Thailand di sini, hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Sungai Golok Precha Nuan Noy dan Pengarah Jabatan Penerangan Kelantan Azhar Ismail.

Abdullah berkata jika rakyat memberi mandat kepada BN untuk kembali mentadbir Kelantan, beliau yakin lebih banyak kemudahan prasarana berteraskan pelancongan akan dapat dibina di Rantau Panjang seperti hotel bertaraf tiga bintang.

Selain itu, katanya beliau akan menyusun kembali sektor perniagaan di kawasan bebas cukai Rantau Panjang kepada zon-zon tertentu yang khusus menjual barangan tertentu sahaja di kawasan yang telah ditetapkan.

"Sistem yang lebih sistematik ini diharap akan lebih memudahkan pelancong untuk membeli-belah selain dapat menggalakkan persaingan yang lebih sihat dalam kalangan peniaga," katanya.

Sementara itu, Precha berkata kerajaan Thailand sentiasa memastikan keselamatan bandar Sungai Golok daripada sebarang ancaman yang sentiasa mencari peluang untuk mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Beliau berkata antara langkah yang sedang dijalankan ialah menempatkan polis dan tentera di kawasan tersebut selain turut meminta bantuan orang awam serta peniaga untuk menjadi 'mata dan telinga' kepada kerajaan.

"Diharap dengan kerjasama semua pihak ini akan menjamin keselamatan bandar Sungai Golok kerana ia merupakan kawasan yang dikhususkan kerajaan Thailand dalam wilayah Narathiwat ini sebagai pusat perdagangan," katanya menerusi penterjemah.

Sumber: Bernama | 17 Mac 2018

Lebih banyak projek pembangunan untuk Tanah Merah

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama ribuan pengunjung Himpunan Rakyat Tanah Merah di SMK Tanah Merah 1, Tanah Merah hari ini.
TANAH MERAH: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah baharu bernilai RM200 juta merupakan antara projek pembangunan yang akan dibawa masuk jika Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi parlimen ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Projek itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap dalam Karnival Himpunan Rakyat Tanah Merah, di Sekolah Menengah Kebangsaan (SK) Tanah Merah 1, di sini hari ini.

Dalam majlis sama, Timbalan Perdana Menteri turut meluluskan peruntukan khas sebanyak RM10 juta bagi membiayai projek baik pulih masjid, surau, rumah ibadat serta kediaman rakyat selain bantuan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) khusus untuk Parlimen ini dan Jeli.

Ahmad Zahid berkata, peruntukan yang diluluskan itu adalah bukti kecaknaan kerajaan BN terhadap rakyat pelbagai kaum serta penghargaan kepada penduduk di parlimen ini dan Jeli yang sentiasa memberi sokongan padu kepada BN dan UMNO.

”Kerajaan sering dituduh bankrap oleh pembangkang. Hakikatnya kita tidak bankrap dan peruntukan demi peruntukan diluluskan untuk pembangunan dan kebajikan rakyat ini adalah bukti bahawa kita tidak bankrap.

“Diharap PRU-14 nanti, BN bukan sahaja berjaya mengekalkan Tanah Merah dan Jeli, malah dapat menaikkan majoriti serta menang di keenam-enam Dewan Undangan Negeri (DUN) di Tanah Merah dan Jeli,” katanya dalam majlis itu.

Yang turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Hamidah Khamis; Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed; Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 16 Mac 2018