Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 29 April 2018

Dua doktor pakar diperlukan di Hospital Jeli - Mustapa

Datuk Seri Mustapa Mohamed
JELI: Sekurang-kurangnya dua doktor pakar tetap termasuk pakar kecemasan diperlukan di Hospital Jeli bagi memastikan perkhidmatan lebih baik diberikan kepada rakyat daerah ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata beliau telah menulis surat kepada Kementerian Kesihatan untuk memohon penempatan doktor pakar tetap di hospital itu.

"Hospital ini tiada doktor pakar dan mereka hanya dibantu oleh doktor pakar dari Tanah Merah dan Kota Bharu yang akan datang dua kali seminggu. Oleh itu, kita mahu penempatan kekal doktor pakar di hospital ini, " katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan ambulans jenis pacuan empat roda kepada Hospital Jeli di sini, hari ini.

Turut hadir Pengarah Hospital Jeli Dr Norzilawati Mohd Ghazali.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kelantan berkata dengan adanya ambulans itu, rawatan kecemasan dapat diberikan lebih pantas terutama ke kawasan pedalaman yang melibatkan penduduk Orang Asli.

Mustapa berkata sebelum ini, Kerajaan persekutuan meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk pembinaan pejabat kesihatan daerah ini.

"Ini menunjukkan kerajaan prihatin dengan Hospital Jeli," katanya yang mempertahankan kerusi Parlimen Jeli dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Lanas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei ini.

Sementara itu, Dr Norzilawati berkata sekiranya doktor pakar dapat ditempatkan di hospital itu, penduduk sekitar tidak perlu ke Hospital Tanah Merah atau Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mendapatkan rawatan.

"Hospital Jeli memerlukan pakar kecemasan dan pakar perubatan...dengan adanya mereka, penduduk tidak perlu menghabiskan masa perjalanan yang panjang untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Sumber: Bernama | 29 April 2018

Rabu, 25 April 2018

Sekolah Berasrama Penuh Integrasi pertama Kelantan dibina di Tanah Merah

TANAH MERAH: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) pertama di Kelantan akan dibina di sini dengan kos RM65.5 juta, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata pembinaan SBPI Tanah Merah di Bechah Perahu, Manal 1 di sini dijadual bermula pada hujung tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun.

Sekolah berkenaan mampu menempatkan lebih 700 pelajar pada satu-satu masa, katanya.

"...ini projek berterusan. Ini kerana kementerian amat peka dan berusaha memenuhi keperluan untuk pembinaan sekolah berasrama penuh ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Pecah Tanah SBPI Tanah Merah di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz yang dipilih sebagai calon BN bagi Parlimen Tanah Merah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

SBPI Tanah Merah, yang dibina di kawasan seluas 9.1 hektar, mempunyai 20 bilik darjah dan kemudahan seperti asrama, surau, dewan makan dan makmal sains.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata pembinaan SBPI membolehkan pelajar cemerlang di Kelantan menyambung pelajaran tanpa keluar dari negeri ini.

Sumber: Bernama | 25 April 2018

Kolej Profesional MARA Bachok dijangka siap 2021

BACHOK: Kolej Profesional MARA pertama di Kelantan iaitu Kolej Profesional Mara Bachok bernilai RM90 juta di Kampung Pauh Sembilan, di sini, dijangka siap pada 2021, kata Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Awang Adek Hussin.

"Kerja-kerja penyediaan tapak sedang dilakukan untuk pembinaan kolej itu di kawasan seluas 15 hektar," katanya, sambil menambah ia merupakan Kolej Profesional Mara ketujuh di negara ini.

Program diploma yang ditawarkan di kolej berkenaan termasuklah dalam bidang pengurusan peruncitan, kewangan korporat, reka bentuk barang kemas, kulinari dan reka bentuk tekstil.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah pembinaan kolej tersebut hari ini, Awang Adek berkata pembinaan kolej berkenaan selaras dengan misi 'Bachok Baharu Bachok Maju' berasaskan bandar ilmu dan pelancongan.

"Kewujudan kolej itu dan beberapa intitusi pendidikan lain akan memberi peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas kepada rakyat," katanya.

Sumber: Bernama | 25 April 2018

PM Najib rasmi jajaran CSR Merapoh - Kampung Kubang Rusa

LIPIS: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini merasmikan pembukaan Jajaran Lebuh Raya Utama Tengah (CSR), laluan sejauh 14 kilometer (km) yang menghubungkan Merapoh ke Kampung Kubang Rusa di sini.

Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob turut menghadiri majlis perasmian itu.

Laluan berasaskan empat lorong dua hala mengikut piawaian Jabatan Kerja Raya (JKR) dibina dengan kos RM140.697 juta itu dan siap pada 14 Mac lepas setelah melalui tempoh pembinaan selama 36 bulan.

Laluan Merapoh-Kampung Kubang Rusa merupakan sebahagian daripada Pakej 3 projek pembinaan jajaran CSR sejauh 350 km bermula dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang dengan kos keseluruhan RM6.6 bilion.

Projek jalan Merapoh - Kampung Kubang Rusa turut melibatkan pembinaan satu persimpangan searas dan dua jambatan merentasi sungai.

Pembukaan laluan itu berupaya meningkatkan perhubungan antara kawasan Pantai Timur dengan Pantai Barat sekali gus mengupayakan taraf sosial dan pembangunan penduduk di sekitarnya.

Sumber: Bernama | 25 April 2018

Hampir 500,000 akaun pendeposit Tabung Haji tidak aktif

KUALA LUMPUR: Hampir 500,000 akaun pendeposit Tabung Haji (TH) yang membabitkan jumlah simpanan sebanyak RM62.8 juta diklasifikasi sebagai 'akaun tidak aktif' mulai 1 Jun 2018.

TH dalam satu kenyataan berkata, kesemua akaun itu tidak melakukan sebarang transaksi melebihi tujuh tahun berturut-turut.

TH menasihati para pendeposit untuk mengaktifkan akaun masing-masing dengan melakukan sekurang-kurangnya satu transaksi simpanan atau pengeluaran wang di mana-mana cawangan TH, kaunter atau transaksi dalam talian rakan strategik TH sebelum 31 Mei 2018.

TH turut menyatakan pengemaskinian maklumat pendeposit seperti alamat, nombor telefon dan penamaan waris penting untuk memudahkan TH menghubungi bakal haji atau wairs untuk urusan surat penghantaran tawaran haji dan pengurusan harta.

"Sekiranya pendeposit tidak dapat dihubungi, berkemungkinan bakal haji akan terlepas giliran haji pada tahun berkenaan dan perlu menunggu giliran tahun berikutnya untuk mengerjakan ibadah haji," jelasnya.

TH memohon supaya pendeposit atau anak di bawah jagaan yang kehilangan buku akaun datang ke mana-mana cawangan TH dengan membawa kad pengenalan atau sijil kelahiran bagi tujuan semakan, penggantian buku baharu dan kemas kini maklumat.

Sebarang pertanyaan berkaitan akaun tidak aktif atau perkhidmatan, orang ramai boleh menghubungi talian khidmat pelanggan di 03-62071919.

Sumber: Bernama | 25 April 2018

Najib lancar pembukaan CSR Merapoh - Kubang Rusa

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak (empat dari kiri) diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob (dua dari kanan) merasmikan pembukaan Jalan Central Spine Road Seksyen 3E2 Merapoh ke Kampung Kubang Rusa di Lipis, Pahang, hari ini.
LIPIS: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyempurnakan pembukaan satu lagi pakej jaringan jalan raya penting di Pantai Timur iaitu pakej 3 projek Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) antara Merapoh ke Kampung Kubang Rusa di sini.

Pembinaan jalan empat lorong sepanjang 14 kilometer yang mula dibina pada 17 Mac 2015 itu siap sepenuhnya pada 14 Mac lalu.

Projek pembinaan laluan berkenaan yang disiapkan lebih awal menjimatkan kos apabila dengan menelan belanja kira-kira RM140 juta berbanding kos asal sebanyak RM176 juta.

Najib berkata, pembinaan laluan berkenaan menunjukkan komitmen dan kemampuan kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam membangunkan kawasan luar bandar.

"Saya setuju dengan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob katakan bahawa memang sukar kita hendak impikan kawasan pedalaman seperti di Merapoh boleh ada lebuh raya seperti ini.

"Semua ini tidak datang bergolek sebaliknya kerana pentadbiran negara khususnya pengurusan ekonomi yang berada atas landasan betul yang dapat menjamin kesinambungan pembangunan," katanya ketika berucap merasmikan pembukaan projek CSR Seksyen 3E2 Merapoh ke Kampung Kubang Rusa.

Projek CSR sepanjang 350 kilometer dari Simpang Pelangai, Bentong ke Kuala Krai, Kelantan itu antara lain bertujuan meningkatkan taraf perhubungan antara Pantai Timur dan Pantai Barat.

Sehingga kini, projek yang dimulakan sejak 2008 itu telah berjaya disiapkan sepanjang 55.35 kilometer dari Merapoh ke Kampung Seberang Jelai.

Sumber: Utusan Online | Nasional | 25 April 2018

70 penduduk terima BELB

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (kiri) memotong belon bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Projek BELB Talian Grid Semenanjung Malaysia 2018 di Kampung Pangkal Ketereh, hari ini.
MACHANG: Kira-kira 70 penduduk di sekitar Kampung Pangkal Ketereh, di sini kini mampu menarik nafas lega apabila menerima kemudahan bekalan elektrik menerusi Pelaksanaan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) Talian Grid 2018.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, projek yang menelan perbelanjaan sebanyak RM1.12 juta itu diperuntukkan bertujuan menyediakan kemudahan infrastruktur asas kepada penduduk kampung di kawasan luar bandar.

"Untuk projek BELB di sini ia sedang dalam perlaksanaan yang membabitkan 14 buah rumah yang akan menikmati manfaat bekalan elektrik.

"Selain di Machang, projek BELB bagi tahin 2017/2018 ini turut dilaksanakan di Gua Musang yang membabitkan 54 buah rumah dengan kos RM4.32 juta," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Projek BELB Talian Grid Semenanjung Malaysia 2018 di Kampung Pangkal Ketereh, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengurus Besar Tenaga Nasional Berhad, Datuk Mohd. Azim Yusof.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd Jusoh,54, berkata, penantiannya selama 17 tahun untuk mendapatkan bekalan elektrik akhirnya tercapai.

"Saya amat berterima kasih kepada kerajaan pusat menerusi KKLW yang telah membantu kami di kampung ini untuk menikmati kemudahan asas bekalan elektrik.

"Selepas ini, kami dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa dan boleh menggunakan bekalan elektrik untuk aktiviti harian," katanya. 

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 25 April 2018

Tazkirah untuk bekas penagih

Dr. Asyraf Wajdi Dusuki (depan) menyampaikan tazkirah kepada bekas penagih dadah di Masjid Gong Chapa, Pasir Puteh, Kelantan, hari ini.
PASIR PUTEH: Seramai 30 bekas penagih dadah diberi tazkirah selama satu jam selepas solat Zohor berjemaah di Masjid Gong Chapa, dekat sini hari ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Imam Masjid itu, Adnan Mohd. Ghani masing-masing mengisi slot tazkirah dalam menjayakan Program Salam Ibadat anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Pasir Puteh.

Sementara itu, Asyraf Wajdi, tiada manusia yang tidak melakukan kesalahan namun setiap keterlanjuran itu diberi ruang oleh ajaran Islam untuk bertaubat dan kembali ke pangkal jalan.

"Perkara utama ialah mendirikan tiang agama dengan mentaati solat lima waktu, bersosial dengan jemaah masjid dan berpegang bahawa mendirikan solat dengan sempurna adalah benteng kemungkaran.

"Jangan putus asa dalam kehidupan seharian kerana usaha meningkatkan keimanan dan ketakwaan sahaja boleh menjamin seseorang itu tidak kembali terjerumus melakukan kesalahan yang dimurkai Allah," katanya.

Katanya, selain ditegah oleh Islam penyalahgunaan dadah adalah musuh nombor satu negara yang memerlukan sokongan pelbagaj pihak termasuk bekas penagih sendiri memeranginya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 25 April 2018

SBPI Tanah Merah jadi mercu tanda pendidikan baharu Kelantan

Datuk Seri Mahdzir Khalid bersama Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (berbaju biru) ketika penyempurnaan upacara pecah tanah SBPI Tanah Merah, hari ini.
TANAH MERAH: Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah bakal dibina di Bechah Perahu, Manal 1, di sini merupakan mercu tanda pendidikan terbaharu kebanggaan penduduk Kelantan.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, sekolah bernilai RM65.5 juta itu merupakan SBPI pertama di negeri ini dengan pembinaannya dijadual bermula hujung tahun ini dan siap dalam tempoh tiga tahun.

"Kementerian amat peka dan berusaha memenuhi keperluan untuk pembinaan sekolah berasrama penuh ini. Dengan terbinanya SBPI Tanah Merah, kita harap dapat mewujudkan peluang kepada pelajar berpotensi mendapat peluang pendidikan teratur dan sempurna," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Tanah Merah di Bechah Perahu, Manal 1, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad dan Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, beliau mewakili rakyat Tanah Merah berterima kasih kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) yang meluluskan pembinaan SBPI baharu itu.

"Kewujudan SBPI ini membolehkan anak-anak Tanah Merah yang memperoleh keputusan cemerlang berpeluang menyambung pelajaran di sini tanpa perlu ke tempat lain,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 25 April 2018

KPM baharu di Bachok, Kelantan

Dr. Awang Adek Hussin (tengah) meraikan anak Bachok yang berjaya ditawarkan ke kolej pengajian Mara pada majlis pecah tanah pembinaan KPM Bachok di Pauh 9, Bachok, Kelantan, hari ini.
BACHOK: Kolej Profesional Mara (KPM) yang akan dibina di Kampung Pauh Sembilan dekat sini bakal memberikan kemudahan kepada 1,000 pelajar apabila siap sepenuhnya pada 2021.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, buat masa ini kerja-kerja penyediaan tapak di kawasan seluas 15 hektar itu sedang giat dilaksanakan.

"Pembinaan kolej yang bernilai RM90 juta itu merupakan yang pertama di Kelantan dan ketujuh di seluruh negara," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah KPM Bachok di Kampung Pauh Sembilan, di sini hari ini.

Yang turut hadir, calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Irama, Datuk Dr. Ilias Hussin; calon BN DUN Tawang, Datuk Mohd. Radzuan Abdullah dan calon DUN Jelawat, Mohd. Radhuan Hamat serta Ketua Pengarah MARA, Azhar Abdul Manaf.

Awang Adek berkata, kolej itu akan menawarkan pengajian di peringkat diploma jurusan pengurusan perniagaan; pengurusan kewangan; seni kulinari; gubahan barang kemas dan gubahan tekstil.

"Pembinaan kolej ini adalah selaras dengan misi perjuangan BN merealisasikan Bachok Baharu Bachok Maju berasaskan bandar ilmu dan pelancongan yang mempunyai banyak institusi pengajian tinggi termasuk kampus induk Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan aset pelancongan Pantai Irama.

Katanya, kolej itu juga akan dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang lebih luas kepada rakyat negeri ink khususnya penduduk setempat.

"Bagaimanapun, kerusi Parlimen Bachok dan ketiga-tiga DUN berkenaan perlu dimenangi BN pada Pilihan Raya Umum (PRU14) 9 Mei depan bagi melicinkan urusan mengnainya," katanya.

Sumber: Utusan Online | 25 April 2018

Tiada projek ladang hutan baharu di Kelantan

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob membaca kenyataan akhbar selepas mesyuarat Exco terakhir di Kompleks Kota Darulnaim di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan tidak meluluskan sebarang projek ladang hutan sepanjang tempoh lima tahun ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, sebarang aktiviti pembalakan yang sedang berjalan kini adalah hasil kelulusan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) pada penggal sebelum ini.

“Tidak ada sebarang kelulusan baharu untuk projek ladang hutan seperti getah klon balak (TLC), pelbagai spesis dan sebagainya serta tidak ada kelulusan pengecaman dalam hutan simpan.

“Segala aktiviti pembalakan yang sedang berjalan kini adalah kelulusan yang telah dibuat pada penggal ke 12 yang lalu,” katanya selepas mesyuarat terakhir Exco di Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad melahirkan penghargaan kepada semua Exco, pegawai dan kakitangan kerajaan yang telah membantu beliau memimpin pentadbiran negeri.

“Terima kasih juga kepada semua rakyat Kelantan yang telah memberi mandat dan kepercayaan kepada kerajaan negeri yang memerintah sehingga ke hari ini,” katanya.

Sumber: Utusan Online | Wilayah - Kelantan | 25 April 2018

Bangunan tambahan Hospital Tanah Merah RM147.6 juta

Fadillah Yusof menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan Ikmal Hisham Abdul Aziz (kiri) dalam Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah, Kelantan, kelmarin.
TANAH MERAH: Projek pembinaan bangunan tambahan Hospital Tanah Merah adalah antara pembangunan infrastruktur yang sangat penting untuk keperluan jangka panjang rakyat Kelantan khususnya warga jajahan ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pembinaan bangunan baharu tersebut membabitkan kos sebanyak RM147.6 juta dan dijangka siap pada Oktober 2021.

Beliau berkata, pembinaan itu bertujuan menaik taraf infrastruktur hospital sebagai persediaan menampung peningkatan kepakaran daripada minor ke major.

“Bangunan baharu ini bakal memberi manfaat kepada hampir 400,000 penduduk bukan sahaja di Tanah Merah malah di daerah-daerah sekitar iaitu Machang, Pasir Mas dan Jeli.

“Selain itu, bangunan ini juga mampu meningkatkan perkhidmatan kepakaran perubatan dan mengurangkan rujukan pesakit ke hospital berdekatan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Permulaan Kerja Projek Pembinaan Bangunan Tambahan Hospital Tanah Merah, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Fadillah berkata, bangunan baharu itu akan melibatkan penambahan sebanyak 124 katil, pembinaan klinik pakar dan sokongan klinikal.

“Ia juga akan dilengkapi dengan kemudahan seperti klinik pakar, wad pesakit, unit rawatan rapi, unit penjagaan koronari, adewan bedah, unit radiologi, makmal, farmasi dan pelbagai kelengkapan lain.

“Oleh itu, diharap projek ini dapat disiapkan mengikut jadual dan kualiti yang ditetapkan,” katanya.

Sementara itu, Ikmal Hisham berkata, pihaknya amat berterima kasih kepada Kerajaan Pusat yang sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan warga Tanah Merah khususnya.

“Dengan pembinaan bangunan tambahan ini, ia akan memberi kemudahan yang lebih lengkap dan selesa untuk penduduk di sini berbanding sebelum ini.

“Kami warga Tanah Merah amat menghargai pelaksanaan projek ini dan menjadi satu lagi berita gembira dan kenangan indah buat kami,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Dakwaan kononnya BN akan bina lebih banyak pusat hiburan di Kelantan adalah tidak benar

Ahmad Jazlan Yaakub (tengah) bersama peserta Risda Kelantan yang menerima replika cek dalam Majlis Penyampaian Dividen Risda di Machang, Kelantan, semalam
KOTA BHARU: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri ini, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub rela melepaskan semua jawatan sekiranya dakwaan ko­nonnya parti itu akan membina lebih banyak pusat hiburan di ne­geri ini adalah benar. 

Beliau berkata, tuduhan yang sengaja dicetuskan kembali oleh pihak pembangkang itu bertujuan memburukkan BN. 

“Saya nafikan sama sekali dakwaan kononnya BN akan membina pusat hiburan seperti disko dan pusat judi sekiranya menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) di negeri ini. 

“Malah, saya juga rela mele­takkan jawatan sekiranya perkara itu berlaku. Ini adalah usaha ter­desak pihak pembangkang yang sering kitar semula isi ceramah mereka dengan tujuan memburukkan BN,” jelasnya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Penyampaian Dividen Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Peringkat Nasional di Sekolah Menengah Kebangsaan Machang, di sini hari ini. 

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan yang juga penyandang kerusi Parlimen Machang berkata, BN negeri ini tidak berhasrat menu­buhkan jawatankuasa khas bagi memantau isu ketidakpuasan hati dalam kalangan penyokong. 

Menurutnya, ini kerana calon yang digugurkan juga sudah mene­rima dengan hati terbuka. 

“Semalam secara jelas sudah menunjukkan sambutan baik dalam kalangan penyokong BN terhadap semua nama calon yang diumumkan bagi bertanding dalam PRU-14. 

“Mungkin ada rasa sedikit tidak puas hati dalam kalangan calon yang digugurkan mahupun penyokong di kawasan berkenaan namun tidak sampai tempoh 48 jam penyokong yang asalnya tidak berpuas hati sudah bersatu kembali kerana kita harus sedar yang lebih utama adalah memastikan kemenangan BN di negeri ini,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Jeli model urbanisasi luar bandar

Kompleks Niaga Tok Wan Mat yang didirikan oleh Kerajaan BN bagi memudahkan penduduk berniaga dengan lebih selesa.
JELI: Memperlahankan motosikal yang ditunggang seolah-olah menjadi ru­tin wajib bagi penoreh getah, Nor Ahmad Yusof, 37, setiap kali dia melalui kawasan Gemang, di sini yang terletak kira-kira enam kilometer dari pusat bandar Jeli.

Puncanya ialah kerana lelaki itu mahu melihat Universiti Malaysia Ke­lantan (UMK) yang tersergam indah di situ. Setiap kali melintasi­nya, Nor Ahmad pasti menoleh. Dia tidak pernah rasa puas memandang kompleks berkenaan yang beroperasi sejak lapan tahun lalu.

Hatinya girang, senyumannya lebar manakala fikirannya terba­yangkan masa depan.

“Saya berangan, alangkah seronoknya jika anak-anak saya yang kini masih kecil dapat menjejakkan kaki di menara gading serba gah seperti UMK itu apabila mereka besar nanti,” kata Nor Ahmad.

Selain Nor Ahmad, keceriaan turut terpancar di wajah penduduk Jeli lain, setiap kali mereka melalui kawasan itu.

Masakan tidak. Kehadiran UMK di situ memberi 1,001 rahmat buat mereka. Sejak UMK beroperasi pada 2012, limpahan pembangunan seperti taman perumahan dan premis komersial wujud bagaikan cen­dawan tumbuh di kawasan sekitar­nya.

UMK hanya satu contoh daripada puluhan projek pemba­ngunan berimpak tinggi yang dibawa masuk secara berterusan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) ke Parlimen Jeli sejak 20 tahun lalu.

Komitmen penuh BN dalam mengubah kawasan yang dianggap termundur di negeri ini sehingga menjadi pesat mem­ba­ngun bermula sejak Datuk Seri Mustapa Mohamed, 68, dipilih sebagai anggota Parlimen ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1995.

Antara yang dibawa ma­suk ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Politeknik, Kolej Komuniti, Pusat GiatMara, Sekolah Menengah Sains (SMS), Pusat Anak Permata Negara serta Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga.

Mustapa juga bertanggungjawab di sebalik usaha menambah baik kemudahan awam di Jeli sehingga kemudahan jaringan jalan raya, bekalan air bersih dan eletrik serta capaian internet di daerah ini antara terbaik berbanding kawasan lain di ne­geri ini.

Sementara itu, Pusat Dakwah Jeli atau lebih dikenali sebagai Pondok Moden menjadi bukti kesungguhan beliau me­ningkatkan syiar Islam, sekali gus memberi jaminan Jeli di bawah payung BN dan UMNO tidak akan sekali-kali sunyi daripada aktiviti keagamaan.

Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini pula, beberapa lagi projek baharu menemui penduduk Jeli. Antaranya, pembinaan pusat komersial, Dataran Bukit Bunga dan Dataran Tok Wan Mat yang bertujuan meran­cakkan lagi pertumbuhan ekonomi setempat.

Pada 2016, bangunan tambahan Hospital Jeli bernilai RM57 juta dibina untuk manfaat kira-kira 47,000 penduduk daerah ini. Premis baharu serba mo­den itu dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ogos lalu.

Sementara itu, Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kuala Balah bernilai RM4 juta sedang dibina dan dijangka siap pada Mac 2019. R&R baharu itu bakal mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Tahun lalu, Kerajaan Pusat mengumumkan peruntukan sebanyak RM554 juta bagi melaksanakan lapan projek Program Perumahan Rakyat (PPR) di Kelantan dan Jeli dipilih sebagai salah satu lokasi pembinaan projek idaman rakyat itu.

Tiada siapa mampu menafikan, Jeli melalui proses urba­nisasi yang cukup terancang. Pembangunan fizikal dan kerohaniannya seimbang. Ekonomi­nya rancak dipacu ke hadapan. Hasilnya, rakyat terus menikmati kemakmuran.

Apa yang ada di Jeli ini bukan mimpi. Itu realiti. Rekod dicipta Mustapa sukar ditandingi. Maka tidak ada sebab rakyat mahu memilih parti ‘bulan’, atau gabungan baharu berlogokan mata ‘lebam’ sehingga mengetepikan beliau yang sentiasa istiqamah berkhidmat dengan cemerlang.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Tok Pa berdepan seteru tradisi, anak didik

Pusat bandar Jeli pesat membangun dengan kemudahan jalan raya dan infrastrukur lengkap.
JELI: Sudah diumumkan secara rasmi semalam, Datuk Seri Mustapa Mohamed bakal menggalas tanggungjawab untuk mempertahankan dua kerusi di­sandang Barisan Nasional (BN) iaitu Parlimen Jeli dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Lanas.

Mustapa, 68, atau nama ‘gla­mornya’, Tok Pa sebelum ini berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Jeli selama tiga penggal berturut-turut. Berdasarkan rekod terdahulu serta prestasi semasa, ramai menjangkakan beliau masih dominan dan tidak menghadapi masalah yang besar.

Selaku Menteri Perdaga­ngan Antarabangsa dan Industri, Mustapa boleh dikatakan seorang yang amat sibuk. Bagaimanapun, Pengerusi BN negeri Kelantan merangkap Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri ini sentiasa mempunyai masa untuk menjenguk Jeli.

Kesungguhan beliau turun padang, sikapnya yang tidak gemar berprotokol, selain merendah diri dan tidak suka menghentam lawan menjadikan Mustapa di­senangi rakyat. Aura beliau tidak pernah padam meskipun dise­rang bertubi-tubi musuh politik.

Tanyalah sesiapa sahaja di Jeli, mereka tidak akan teragak akan berkata individu yang bertanggungjawab membawa segala kemajuan dan pembangunan di sini sejak lebih 20 tahun lalu, tidak lain tidak bukan ialah Mustapa.

Mengikut rekod, Mustapa pernah tewas di tangan Yang Dipertua Pas Jeli, Mohd. Apandi Mohamad pada PRU-10 sebelum merampas semula kerusi sama pada PRU-11 sehingga hingga kini.

Pada PRU-11, undi diraih Mustapa ialah 16,960 manakala Mohd. Apandi 9,607 undi. Beliau menang dengan majoriti 7,355 undi. Pada PRU-12 pula, Mustapa menang dengan majoriti 4,436 undi. Beliau meraih 17,168 undi menewaskan Mohd. Apandi (12,732 undi).

Sementara itu, pada PRU-13, Mustapa kekal menjadi pilihan penduduk Jeli apabila menewaskan Mohd. Apandi sekali lagi dengan majoriti 5,336 undi. Beliau memperoleh 21,345 undi berbanding 16,009 undi oleh pihak lawan.

Itu cerita lama antara Mustapa dengan seteru tradisi beliau, Mohd. Apandi yang selama tiga PRU berturut-turut bertembung dalam pertandingan satu lawan satu.

Dalam PRU-14, senario ini berubah. Selain Mohd. Apandi yang dijangka terus ‘istiqamah’ melawan Mustapa, satu lagi lawan baharu mengumumkan sedia memasuki gelanggang. Beliau merupakan anak didik Mustapa sendiri iaitu Azran Deraman.

Azran, 36, yang akan bertan­ding atas tiket gabungan pembangkang PKR (PPBM) ialah bekas Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Kelantan. Dengan kata lain, beliau bakal mencabar bosnya sendiri.

Sejauh mana Mohd. Apandi dan Azran mampu menggugat Mustapa di Jeli yang mempunyai 98 peratus pengundi Melayu?

Difahamkan, Mohd. Apandi, 68, disenangi penduduk kerana personalitinya yang mudah didekati. Cuma, rekodnya tidak cukup meyakinkan untuk menggalas tugas membela nasib penduduk Jeli yang masih dahagakan pembangunan.

Sementara itu, Azran pula dikatakan mempunyai rekod cemerlang dalam perkhidmatan apabila dilantik menjadi Pengarah MITI Kelantan pada usia yang masih muda, sekali gus mengenepikan senior-seniornya yang lain.

Namun, banyak pihak melihat Azran diletakkan di Jeli walaupun berasal dari Tanah Merah hanya sekadar untuk mengguris imej Mustapa.

Malah Azran juga dilihat se­perti mempunyai dendam peri­badi apabila beliau terpalit dengan isu salah laku selepas direman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan terhadap kes tuntutan palsu bernilai RM600,000.

Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 24 April 2018 | Terbitan 25 April 2018

Selasa, 24 April 2018

Rakyat Kelantan paling ramai kerja kerajaan - KSU, Ketua Agensi juga ramai dari Kelantan

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa (dua dari kiri) menyambut keberangkatan tiba Pemangku Raja Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan negeri Kelantan Bersama Pemangku Raja dan Ketua Setiausaha Negara di Hotel Perdana di Kota Bharu hari ini.
KOTA BHARU: Rakyat negeri ini paling ramai berkhidmat dalam perkhidmatan awam negara dengan jumlah 12.6 peratus atau hampir 159,000 orang daripada bilangan keseluruhan penjawat awam di seluruh negara.

Lebih menarik apabila hampir 17 peratus pegawai tertinggi daripada kalangan Ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua Agensi Pusat di peringkat Persekutuan turut terdiri daripada orang Kelantan. Peratusan tertinggi berbanding negeri lain.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa berkata, kebolehan yang dimiliki rakyat negeri ini cukup memberikan impak kepada perkhidmatan awam Persekutuan.

“Kita ada 1.6 juta penjawat awam, semasa pengambilan kita tidak ambil kriteria dia mesti datang dari negeri tertentu tetapi secara kebetulan 12.6 peratus berasal dari Kelantan.

“Semua pemilihan dalam jawatan dan kenaikan pangkat adalah berdasarkan kebolehan dan merit masing-masing,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penjawat Awam Persekutuan dan negeri Kelantan Bersama Pemangku Raja dan Ketua Setiausaha Negara di Hotel Perdana di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pemangku Raja Kelantan, Dr. Tengku Muhammad Fa-Iz Petra telah menyampaikan titah di hadapan kira 600 penjawat awam negeri dan Persekutuan.

Yang turut hadir, Setiausaha Kerajaan negeri, Nazran Mohammad dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) negeri, Datuk Yahaya Mamat.

Terdahulu dalam ucapan aluannya, Ali berkata, sejak bermulanya kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri pada 2009, negeri ini tidak pernah dipinggirkan dalam perancangan pembangunan Kerajaan Persekutuan.

“Kelantan adalah negeri yang penting dalam arus pembangunan negara malah untuk tempoh antara 2013 hingga2017, sebanyak 447 projek yang bernilai RM2.65 bilion telah dilaksanakan di negeri ini.

“Sebagai contoh, bagi perumahan mampu milik penjawat awam iaitu Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), sebanyak 7,914 unit telah diluluskan di Kelantan dengan 2,662 unit dalam pembinaan manakala 5,197 unit pada pelbagai peringkat kelulusan untuk pembinaan,” katanya. 

Sumber: Utusan Online | 24 April 2018

Isnin, 23 April 2018

129 peserta tamat jalani Kursus Latihan Kemahiran ECRL

KUALA LUMPUR: Seramai 129 siswazah lulusan diploma dan ijazah pusat pengajian tinggi tempatan akan bertugas dengan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) setelah tamat Latihan Kemahiran Industri Laluan Rel Pantai Timur (PLKI-ECRL), hari ini.

Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dalam kenyataan hari ini berkata seramai 38 daripada graduan yang tamat program latihan selama tiga bulan itu akan diambil bekerja oleh MRL, pemilik dan pengendali ECRL.

"Selainnya akan diambil bekerja sama ada dengan China Communications Construction Company Ltd (CCCC, kontraktor utama ECRL atau subkontrak-subkontraktornya," menurut kenyataan itu hari ini.

Program PLKI-ECRL yang merupakan program latihan teknologi perkhidmatan kereta api yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bertujuan melatih sehingga 3,600 rakyat Malaysia bermula 2017 sehingga 2022 untuk bekerja dengan projek ECRL.

Sehingga kini, program itu telah menghasilkan seramai 314 graduan yang bekerja sebagai profesional dan pekerja mahir yang akan berkhidmat untuk projek ECRL dan ia menyasarkan untuk melatih 700 pekerja atau 25 peratus daripada unjuran keseluruhan latihannya untuk tahun ini.

Program itu dilaksanakan melalui kerjasama antara MRL, CCCC dan Universiti Malaysia Pahang yang sukatan latihan dirumuskan oleh Beijing Jiaotong University, sebuah universiti terkemuka China yang terkenal dengan pengajian kejuruteraan perkhidmatan kereta api.

Ketua Pegawai Eksekutif MRL, Datuk Seri Darwis Abdul Razak dalam kenyataan itu berkata program itu menerima sambutan menggalakkan sejak bermula pada September lepas.

"Kami gembira melihat ramai golongan muda rakyat Malaysia begitu berminat untuk bekerja dengan ECRL. Projek infra-rakyat ini memerlukan 70 peratus daripada tenaga kerjanya diisi oleh rakyat Malaysia.

"Ketika puncak pembinaan ECRL nanti, lebih daripada 30,000 peluang pekerjaan akan dibuka. Sementara itu, 237 kontraktor tempatan telah dilantik oleh CCC untuk mengendalikan antara lain, kerja-kerja awal pembersihan tanah dan pembinaan jalan masuk," katanya.

Sumber: Bernama | 23 April 2018

Bangunan baharu Hospital Tanah Merah dijangka siap 2021 - Fadillah

TANAH MERAH: Pembinaan bangunan tambahan Hospital Tanah Merah akan dimulakan dalam masa terdekat dan dijangka siap pada 2021, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata bangunan yang dibina dengan kos sebanyak RM150 juta itu mampu menempatkan 124 katil selain turut dilengkapi klinik pakar serta 300 petak ruang meletak kenderaan.

"Pertambahan bangunan baharu ini juga akan memberi manfaat kepada kira-kira 400,000 penduduk di Tanah Merah, Machang, Pasir Mas dan Jeli," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis permulaan kerja projek bangunan baharu hospital tersebut di sini hari ini.

Hadir sama penyandang kerusi Parlimen Tanah Merah Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz dan Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir.

Dalam pada itu, Fadillah berkata kementeriannya memperuntukkan sebanyak RM1.66 bilion bagi melaksanakan pelbagai projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan hospital di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11.

Sumber: Bernama | 23 April 2018

Penghijrahan ke bandar besar untuk kerja perkara biasa - Salleh

KUALA LUMPUR: Orang-orang berhijrah ke tempat lain untuk bekerja adalah fenomena global, oleh itu orang datang ke Selangor dari negeri lain untuk mencari kerja bukan sesuatu yang luar biasa, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya, ini sudah berlaku sejak sekian lama malahan sebelum PKR mengambil alih Selangor lagi pada 2008.

Oleh itu, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menghina Kerajaan Kelantan bila menyatakan bahawa ramai rakyat Kelantan berhijrah ke Selangor mencari kerja kerana kerajaan negeri itu pimpinan PAS tidak dapat menjamin pekerjaan untuk mereka.

"Bila PAS bergabung dengan PKR dari 1999 hingga 2015, pembangkang menggunakan Kelantan sebagai negeri contoh pembangkang terbaik dari segi pentadbirannya."

"Sekarang Azmin meremehkan Kelantan kerana PRU14 semakin hampir," kata Salleh dalam catatan di blognya malam ini.

Salleh berkata jika Mohamed Azmin hendak mencari isu untuk menyelar PAS, seharusnya beliau mencari isu yang munasabah.

Sumber: Bernama | 22 April 2018

Ahad, 22 April 2018

PRU-14: Intipati Manifesto BN Pusat berkaitan Kelantan dan juga Manifesto BN Kelantan

KUALA LUMPUR: Berikut merupakan intipati utama Manifesto Barisan Nasional (BN) Pusat yang dibentangkan YAB Perdana Menteri, Dato' Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak pada 7 April lepas di Arena Axiata, Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang berkaitan dengan negeri Kelantan:- 
  1. Menaik taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP), Kota Bharu, Kelantan. 
  2. Membina Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) dari Pelabuhan Klang ke Pengkalan Kubor. 
  3. Membina Lebuh Raya Laluan Lingkaran Tengah atau  Lebuh Raya Utama Tengah (CSR) yang menghubungkan Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan yang bertujuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas serta memacu pertumbuhan ekonomi baharu di Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). 
  4. Menyiapkan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dari Kuala Nerus, Terengganu sehingga Pengkalan Kubor, Kelantan. 
  5. Membaik pulih infrastruktur landasan dan jambatan kereta api Pantai Timur. 
  6. Membina loji rawatan pembentungan wilayah di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu, Kelantan yang merangkumi 34.9 kilometer (km) saluran paip pembentungan yang bakal memanfaatkan kira-kira 300,000 penduduk. 
  7. Menubuhkan Universiti Al-Quran 
Pada 19 April pula, BN Kelantan telah melancarkan Manifesto BN Kelantan bertempat di Pusat Transformasi Luar Bandar Kelantan (RTC Kelantan) di Bandar Baharu Tunjong, Kota Bharu, Kelantan.

Manifesto yang bertemakan ‘Bersama Demi Kelantan’ itu dibentangkan  Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed. Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub dan seluruh kepemimpinan parti itu. 

Akujanji yang mempunyai tujuh jaminan itu berteraskan kepada Kelantan ‘Daulah Mardatillah’, negeri yang diberkati Allah SWT. Di antara akujanji BN untuk rakyat negeri ini adalah: -
  1. Menubuhkan Universiti Al-Quran.
  2. Mewujudkan lebih banyak sekolah-sekolah tahfiz model Ulul-Albab. 
  3. Memperkasakan Yayasan Islam Kelantan (YIK) dan mempertingkatkan kebajikan guru-guru YIK. 
  4. Mewujudkan 50,000 peluang pekerjaan dan keusahawanan khususnya untuk golongan belia
  5. Menghapuskan cukai tanah pertanian bagi pemilik tanah dua ekar ke bawah. 
  6. Mengkaji semula perjanjian Ladang Rakyat bagi membolehkan sebahagian tanah kembali kepada rakyat. 
  7. Membina 20,000 unit rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) dan rumah baharu bagi generasi kedua FELDA dan KESEDAR di seluruh negeri
  8. Memberi geran tahunan kepada Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dan persatuan-persatuan bola sepak daerah. 
  9. Membina stadium dan kompleks sukan negeri di Machang. 
  10. Membina sebuah hospital khusus bagi wanita dan kanak-kanak untuk meningkatkan taraf kesihatan dan kebajikan mereka. 
  11. Menaik taraf destinasi pelancongan utama Kelantan seperti Pantai Irama, Pantai Melawi, Pantai Sri Tujoh dan membangunkan produk-produk pelancongan baharu. 
  12. Mempercepatkan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai. 
  13. Menghubungkan Kelantan dengan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT). 
  14. Menaik taraf Lebuh Raya Timur - Barat dari Gerik ke Jertih. 
  15. Menyediakan jaringan pengangkutan awam bersepadu dan cekap di Kota Bharu. 
  16. Mewujudkan terminal bas bersepadu di Kota Bharu. 
  17. Membina had pengangkutan awam di setiap jajahan. 
  18. Membantu membangunkan Pelabuhan Tok Bali untuk kegiatan import eksport dan pusat industri. 
  19. Menghentikan aktiviti pembalakan buat sementara waktu dan mengkaji semula pemberian lesen pembalakan
  20. Meningkatkan keberkesanan perkhidmatan Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) dan meningkatkan kadar liputan air terawat kepada 80 peratus. 
Dalam pada itu, BN juga berjanji akan membawa lapan perubahan dalam tempoh 100 hari jika menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).  Lapan janji tersebut adalah: - 
  1. Menurunkan kadar premium dan cukai tanah. 
  2. Menyediakan perkhidmatan kerajaan yang lebih cekap dan berkesan. 
  3. Mewujudkan jawatankuasa Hisbah untuk memantau tadbir urus dan mengenal pasti penambahbaikan untuk dilaksanakan. 
  4. Memberi diskaun bagi tunggakan cukai pintu, menghapuskan tunggakan bayaran sewa tapak dan mengkaji semula cukai PBT lain. 
  5. Menghapuskan kutipan cukai kepala bakul. 
  6. Memudahkan prosedur permohonan lesen bagi penjaja dan peniaga kecil. 
  7. Mengkaji semula kadar bayaran parkir bermeter. 
  8. Mewujudkan pasukan petugas bagi memerangi gejala dadah dengan lebih berkesan.

Malaysia Airlines tawar potongan harga sehingga 40 peratus

KUALA LUMPUR: Grand Travel Deals Malaysia Airlines Bhd menawarkan sehingga 40 peratus potongan harga ke atas tiket penerbangan ke destinasi terpilih, serta tawaran perjalanan yang luas, termasuk diskaun tambang untuk kanak-kanak, bagasi lebihan dan tempahan hotel.

Ia berkata dari 23 hingga 29 April, pelanggan boleh menikmati tambang dua hala, termasuk semua, bagi kelas ekonomi dari serendah RM259 ke Phnom Penh, dari RM299 ke Jakarta, dari RM699 ke Hong Kong atau Colombo dan dari serendah RM2,829 ke London.

"Tambang ini sah bagi perjalanan dari 25 April, 2018 hingga 31 Mac, 2019," kata Malaysia Airlines dalam satu kenyataan hari ini.

Tambang termasuk semua bagi kelas ekonomi dari Kuala Lumpur, ditawarkan serendah RM99 ke Terengganu, dari RM139 ke Kuching, dari RM149 ke Miri dan dari RM189 ke Kota Kinabalu, sah bagi pejalanan dari 24 April, 2018 hingga 31 Mac, 2019.

Ia berkata maklumat mengenai tambang itu boleh diperoleh menerusi www.malaysiaairlines.com/traveldeals.

Malaysia Airlines juga menawarkan pelbagai tarikan menarik bagi mereka yang merancang untuk melakukan perjalanan solo atau bersama orang tersayang.

Eksklusif kepada pelanggan kelas perniagaan, tambang rakan istimewa disediakan untuk mereka yang berjalan berpasangan.

Syarikat penerbangan itu berkata menerusi tawaran itu pelanggan diberikan diskaun sehingga 50 peratus ke atas tambang udara bagi kanak-kanan, penjimatan 50 peratus ke atas penginapan hotel di Malaysia semasa menempah bilik menerusi Booking.com dan menikmati potongan 10 peratus ke atas belian awal bagi 10 kg bagasi lebihan selain pilihan tempat duduk.

Sumber: Bernama | 20 April 2018

Senarai penuh calon BN Parlimen Wilayah Persekutuan

KUALA LUMPUR: Berikut adalah senarai calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding di 13 kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei ini: - 

1) P.114 KEPONG -- Ong Siang Liang (Gerakan)

2) P.115 BATU -- Datuk Dr Dominic Lau (Gerakan)

3) P.116 WANGSA MAJU -- Datuk Seri Yeow Teong Look (MCA)

4) P.117 SEGAMBUT -- Datuk Dr Loga Bala Mohan (MyPPP)

5) P.118 SETIAWANGSA -- Tan Sri Zulhasnan Rafique (UMNO)

6) P.119 TITIWANGSA -- Datuk Seri Johari Abdul Ghani (UMNO)

7) P.120 BUKIT BINTANG -- Ann Tan Ean Ean (MCA)

8) P.121 LEMBAH PANTAI -- Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (UMNO)

9) P.122 SEPUTEH -- Chan Quin Er (MCA)

10) P.123 CHERAS -- Heng Sinn Yee (MCA)

11) P.124 BANDAR TUN RAZAK -- Adnan Abdul Seman (UMNO)

12) P.125 PUTRAJAYA -- Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor (UMNO)

13) P.166 LABUAN -- Datuk Rozman Isli (UMNO)

Sumber: Bernama | 22 April 2018
 

BN Kelantan kenal pasti pengundi luar sebagai kelompok penting

TANAH MERAH: Barisan Nasional (BN) Kelantan mengenal pasti pengundi luar sebagai kelompok besar penting yang boleh melakukan perubahan kepada pentadbiran kerajaan negeri Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) 9 Mei nanti.

Pengerusi Biro Pengundi Luar UMNO Kelantan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata parti itu mengenal pasti perantau yang berdaftar sebagai pengundi di negeri ini kira-kira 150,000 orang.

"Ini satu jumlah yang besar sekiranya peratus undi dan sokongan memihak kepada BN," katanya kepada pemberita selepas majlis pertemuan bersama pesara kerajaan di sini hari ini.

Beliau berharap pengundi luar yang terdiri daripada penjawat awam dan pekerja swasta itu dapat memanfaatkan cuti yang diumumkan kerajaan dan pelepasan cuti yang diberi majikan untuk pulang mengundi.

Menurut Ikmal Hisham, BN Kelantan dalam proses membantu pengundi luar untuk pulang menunaikan tanggungjawab masing-masing.

"Terpulang kepada UMNO bahagian masing-masing untuk menyediakan bas bagi membawa pulang perantau untuk mengundi, " katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 9 Mei sebagai hari mengundi bagi PRU14 dan penamaan calon pada 28 April.

Sumber: Bernama | 22 April 2018

Program NBOS-CTU gembirakan penduduk miskin di luar bandar

Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad (kanan) bersama pemilik rumah Safar Mohamad Yunus meletakan plak pada Program melalui Perluas Skop NBOS- Program Menghubung Menyatu (CTU) Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Kedai Menanti hari ini.
PASIR PUTEH: Program Menghubung Menyatu (CTU) yang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) untuk merakyatkan perkhidmatan kerajaan, berjaya membina 189 rumah baharu untuk penduduk miskin di enam negeri setakat ini.

Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad berkata negeri terbabit yang masih mempunyai ramai penduduk miskin yang memerlukan rumah yang selesa ialah Kelantan, Terengganu, Pahang, Perak, Johor dan Sabah.

"Rumah yang telah siap itu akan dilengkapi dengan kemudahan seperti bekalan air, elektrik, set televisyen dan peralatan siaran digital Astro NJOI bagi menceriakan keluarga terbabit dan memudahkan mereka mendapatkan maklumat," katanya kepada pemberita selepas melawat rumah program perluasan skop NBOS-CTU di Kedai Menanti di sini, hari ini.

Sharifah Zarah berkata program tersebut yang dilaksanakan sejak dua tahun lalu melalui Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan kerjasama kementerian lain dan pihak swasta berkesan untuk membantu golongan miskin.

Beliau berkata program itu juga dapat mengatasi masalah rakyat di luar bandar yang tidak mempunyai kemudahan atau akses terhad kepada Internet, televisyen dan radio.

Katanya melalui kemudahan rangkaian telekomunikasi yang baik terutamanya akses Internet, rakyat mudah untuk berhubung dan mendapatkan maklumat begitu juga dengan pihak kerajaan yang boleh menyebarkan maklumat dengan pantas.

"Tidak semestinya apabila kita dapat akses kepada Internet kita lupakan orang yang duduk di kawasan luar bandar sebab itu kami masih menjalankan program pertemuan secara bersemuka dengan mereka," katanya.

Sharifah Zarah berkata pihaknya juga komited untuk meningkatkan pelaksanaan program berkenaan bagi masyarakat Orang Asli yang tinggal jauh di pedalaman dan program itu pernah diadakan di beberapa perkampungan kaum tersebut seperti di Royal Belum, Perak.

Sementara itu, penerima rumah di bawah program tersebut, Mohd Zulkifly Rajab, 36, berkata tanpa bantuan daripada pihak kerajaan persekutuan adalah sukar baginya untuk membaik pulih rumahnya yang usang.

Dia yang mengambil upah kerja-kerja rencam daripada penduduk kampung dengan pendapatan antara RM500 dan RM700 sebulan, gembira kerana rumahnya itu turut dibina bilik tidur, tandas serta dapur yang baharu.

Mohd Zulkifly mendiami rumah berkenaan bersama isteri Shafarah Mohd Junoh, 30, dan empat anak berumur 5 hingga 13 tahun.

Sumber: Bernama | 21 April 2018

Kesedaran sivik utamakan kebersihan, faktor Perak pilihan pelancong

Gambar hiasan: Dataran Bandar Raya di pusat bandar raya Ipoh, Perak Darul Ridzuan. 
LUMUT: Tahap kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat di Perak yang memberi keutamaan kepada penjagaan kebersihan merupakan antara faktor pelancong asing gemar melancong ke negeri ini.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata ini merupakan hasil usaha dan contoh teladan yang ditunjukkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang turun sendiri mengutip sampah sarap.

"Tiga minggu lepas saya secara senyap-senyap pergi ke tempat-tempat pelancongan di Ipoh dan memang menteri besar telah berjaya menjadikan Ipoh sebagai tempat yang disinggah oleh pelancong kerana kebersihannya."

"Kebersihan sangat penting, kerana pelancong akan melihat kebersihan di sesuatu tempat itu dan ia menunjukkan bahawa kita mempunyai tahap sivik yang tinggi, sebab itu pelancong suka datang ke negeri ini," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Lumut 18, My Kampung Tourism "Moh..kome, Kita Ke Perak" di Dewan EMV di Seri Manjung di sini hari ini.

Sebelum ini, menteri besar Perak mahu aspek kebersihan terus dijaga dan dipelihara selepas Ipoh kian menjadi tumpuan dunia apabila akhbar New York Times menerbitkan sebuah artikel bertajuk 'Kenapa Ipoh, Malaysia perlu berada dalam radar pelancongan anda' pada 28 Februari lalu.

Mohamed Nazri berkata usaha menerapkan kesedaran sivik dan menjaga kebersihan sekitar bandar raya Ipoh menyebabkan bandar raya tersebut antara lokasi pelancongan yang digemari pelancong, terutama dari Jepun dan China.

Lonely Planet, penerbit buku pelancongan antarabangsa terbesar dunia sebelum ini menyenaraikan Perak sebagai wilayah kesembilan terbaik dunia untuk dilawati pada tahun 2017.

Malahan, bandar raya Ipoh juga telah diiktiraf sebagai destinasi keenam terbaik di Asia pada 2016 oleh penerbit sama.

Sumber: Bernama | 21 April 2018

Tok Bali gerbang halal serantau

Tengku Razaleigh Hamzah (dua dari kiri) diiringi Asyraf Wajdi Dusuki (kiri) ketika menghadiri majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional (BN) Parlimen Pasir Puteh di Dewan Uthmaniah, Kampung Pulau Lima, Pasir Puteh, Kelantan, semalam. BERNAMA
PASIR PUTEH: Pelabuhan Perindustrian Tok Bali akan ditransformasikan menjadi gerbang halal serantau sekiranya Barisan Nasional (BN) menang di kerusi Parlimen Pasir Puteh dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap bapa angkat UMNO bahagian itu, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sebanyak 250 lot industri kecil dan sederhana (IKS) akan dibina di kawasan tersebut yang terletak dalam DUN Semerak bagi mewujudkan peluang keusahawanan yang produktif.

Beliau berkata, projek pembangunan yang sebahagiannya telah dilaksanakan di kawasan itu bakal menjanjikan sebanyak 50,000 peluang pekerjaan bagi menarik kembali anak tempatan yang mencari rezeki di perantauan.

“Perkara ini terkandung dalam Manifesto BN Pasir Puteh yang mengandungi 25 janji merangkumi dua aspek utama iaitu pembangunan fizikal dan rohani bagi memastikan penduduk di sini menikmati perubahan.

“Manifesto ini dirangka berasaskan keseimbangan nilai pembangunan ukhrawi dan duniawi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Manifesto BN bagi Parlimen Pasir Puteh di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Semerak di sini hari ini.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Badan Perhubungan UMNO negeri, Tengku Razaleigh Hamzah dan turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Asyraf Wajdi yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, pihaknya juga berjanji untuk membina cawa­ngan Universiti al-Quran dalam kawasan DUN Selising jika menang.

Bagi DUN Gaal akan diwujudkan zon kesenian dan kebudayaan yang mendapat tempat dalam industri pelancongan global, manakala DUN Limbo­ngan akan melibatkan urbanisasi bandar Pasir Puteh sebagai pusat bandar yang kedua terbesar selepas Kota Bharu,” katanya.

Tambahnya, bagi melengkapi pembangunan yang rancak di kawasan tersebut, pihaknya juga akan mewujudkan Kolej Komuniti bagi memberi peluang kepada anak muda di kawasan tersebut mendapat latihan serta kemahiran yang secukupnya.

Sumber: Utusan Malaysia | 21 April 2018 | Terbitan 22 April 2018

Sabtu, 21 April 2018

PRU-14: 25 janji BN kepada rakyat Pasir Puteh

YM Tengku Razaleigh Hamzah
PASIR PUTEH: Barisan Nasional (BN) Pasir Puteh hari ini mengumumkan 25 janji khusus untuk rakyat kawasan tersebut sekiranya menang di kerusi Parlimen dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Manifesto tersebut adalah kesinambungan daripada tawaran yang dibuat oleh BN negeri ini dengan berasaskan kesimbangan nilai pembangunan ukhrawi dan duniawi.

Majlis Pelancaran Manifesto Barisan Nasional bagi Parlimen Pasir Puteh itu disempurnakan oleh Ahli Badan Perhubungan UMNO negeri, Tengku Razaleigh Hamzah di Kompleks UMNO Uthmaniyah, Semerak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Majlis Tertinggi UMNO merangkap bapa angkat UMNO bahagian Pasir Puteh, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh, Datuk Zawawi Othman.

Antara teras utama dalam pembikinan manifesto bagi aspek pembangunan ukhrawi adalah:-
  1. Mewujudkan lebih 50,000 peluang pekerjaan daripada pembangunan Taman Perindustrian Tok Bali dan Pelabuhan Perindustrian Tok Bali.
  2. Mewujudkan cawangan Universiti Al-Quran.
  3. Menyediakan wifi percuma di 40 buah Masjid Mukim seluruh Pasir Puteh.
  4. Mewujudkan Kolej Komuniti.
  5. Pembinaan sebuah masjid baharu.
Manakala dalam aspek pembangunan fizikal pula BN menggariskan cadangan berikut: -
  1. Mewujudkan Pusat Transformasi Luar Bandar.
  2. Membina kompleks sukan dan rekreasi.
  3. Merancakkan pembangunan sekitar Pelabuhan Perindustrian Tok Bali sebagai gerbang halal serantau.
  4. Membangunkan 250 lot Industri Kecil Sederhana (IKS) di Taman Perindustrian Tok Bali.
  5. Menaiktaraf jalan empat lorong dari Bukit Yong ke Pasir Puteh bagi memudahkan dan melancarkan laluan trafik terutama pada musim perayaan
Sumber: Utusan Online | 21 April 2018

Empat tawaran tambahan BN untuk warga Kota Bharu

Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh (depan, dua dari kiri) bersama kepemimpinan BN Kota Bharu ketika melancarkan Manifesto BN Kota Bharu, hari ini.
KOTA BHARU: Barisan Nasional (BN) mengemukakan empat tawaran tambahan kepada warga Kota Bharu jika parti itu menang di parlimen ini dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).


Tawaran tersebut ialah tajaan kenduri kahwin bagi pasangan yang baru berkahwin; tusyen percuma untuk pelajar yang bakal menduduki peperiksaan; skim bantuan bersalin dan meneruskan Projek Perumahan Rakyat (PPR).


Pengerusi BN Kota Bharu, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh berkata, tawaran tersebut bertujuan memenuhi keperluan penduduk bandar yang berdepan kos sara hidup lebih tinggi berbanding tempat lain.


Katanya, tawaran pertama iaitu tajaan kenduri kahwin adalah khusus untuk pasangan pengantin yang berkahwin kali pertama dan akan dibuat secara berkelompok sebanyak dua kali setahun.


“Tajaan ini melibatkan semua kaum tidak kira Melayu, Cina, India atau lain-lain. Kita rancang untuk mengadakan majlis pertama pada 17 Ogos depan,” katanya ketika melancarkan Manifesto BN Kota Bharu di sini hari ini.


Menurut Mohamad Fatmi, tawaran kedua iaitu tusyen percuma pula diadakan khusus untuk pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh parlimen ini yang bakal menduduki peperiksaan dengan tumpuan diberikan terhadap subjek penting.


Sementara itu katanya, tawaran ketiga iaitu skim bantuan bersalin pula berbentuk sumbangan sekali beri (one-off) sebanyak RM100 secara tunai dan diberikan kepada setiap kelahiran anak pasangan warga Kota Bharu.


Tawaran keempat pula merupakan kesinambungan projek PPR di Wakaf Mek Zainab yang melibatkan 1,000 unit kediaman. Kita mahu bina lebih banyak PPR sehingga mencapai sasaran 5,000 unit kediaman.


“Perumahan ini terbuka kepada semua kaum,” katanya.

Sumber: Utusan Online | 21 April 2018