PASIR MAS: Seramai 51 penduduk di Rantau Panjang di sini, tinggal sehelai sepinggang selepas rumah yang mereka diami hangus dijilat api dalam kebakaran awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba Mohd Adni Ibrahim berkata pihaknya menerima panggilan pada pukul 4.59 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian yang terletak di Jalan Lubok Stol, bersama 21 anggota dari BBP Rantau Panjang dan Pasir Mas bersama tiga jentera.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, kita dapati enam rumah dua tingkat dan lapan rumah setingkat sedang terbakar hampir 80 peratus.
"Bagaimanapun kita berjaya mengawal kebakaran kira-kira sejam kemudian dan berhasil mengawal kebakaran daripada merebak ke enam rumah berdekatan di tempat kejadian," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, hari ini.
Mohd Adni berkata pihaknya menggunakan punca air dari Sungai Golok berdekatan tempat kejadian dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
"Punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Sementara itu, seorang mangsa, Che Pura Ibrahim, 42, berkata beliau menyedari kejadian tersebut selepas dikejutkan oleh seorang daripada jirannya yang memberitahu mengenai kebakaran tersebut.
Che Pura kemudiannya mengejutkan lima lagi anggota keluarganya bagi menyelamatkan diri.
"Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya terlupa mengenai salah seorang anak lelaki berusia 19 tahun yang kelainan upaya. Saya bersyukur kerana dia berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran tersebut," katanya.
Seorang mangsa, Rohana Hussien, 45, yang juga seorang peniaga berkata beliau yang sedang tidur di salah sebuah rumah tersebut, menyedari mengenai kebakaran itu selepas dikejutkan oleh seorang daripada anaknya kira-kira pukul 4.30 pagi.
Rohana berkata beliau kemudiannya bertindak mengejutkan empat lagi anggota keluarga untuk menyelamatkan diri daripada kebakaran tersebut.
"Saya gagal menyelamatkan sebarang barangan berharga dari dalam rumah kerana api merebak terlalu pantas," katanya.
Sumber: Bernama | 8 Sept. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan