Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 23 September 2016

MDPP tambah hasil

Bandar Baharu Pasir Puteh yang dijangka dibuka tidak lama lagi. 
PASIR PUTEH: Pembangunan bandar ba­haru di daerah ini telah me­nyumbang peningkatan pendapatan kepada Majlis Dae­rah Pasir Puteh (MDPP) yang menyasarkan untuk dinaik taraf sebagai sebuah majlis perbandaran menjelang 2020.

Yang Dipertua MDPP, Mohd. Anis Hussein berkata, hasil pendapatan itu membolehkan per­khid­matan mengurus kawasan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut dapat dilaksanakan dengan lancar sehingga Pejabat Tanah dan Jajahan Pasir Puteh (PTJPP) dan agensi itu mendapat pengiktirafan Lima Bintang Indeks Akauntabiliti da­ri­pada Jabatan Audit Negara pada tahun lepas. 

Beliau berkata, peningkatan hasil pendapatan juga turut disokong oleh pembayaran premium tanah yang mencecah RM4.5 juta setahun; pindah milik tanah (RM1.04 juta); hasil pungutan cukai tanah sehingga bulan Ogos lalu mencapai RM9.8 juta; royalti batu-batan melebihi RM1 juta dan lain-lain sumber yang berkaitan. 

“Hasil utama kutipan MDPP dan PTJPP turut membabitkan pembangunan pasar baharu di Bandar Baharu Pasir Puteh, Ban­dar Baharu Gong Kulim-Tok Bali, pembinaan perumahan pelbagai keperluan dan sebagainya. 

“Perkhidmatan yang cemerlang ini akan ditingkatkan kepada rakyat dalam usaha menyerlahkan fungsi dan tanggungjawab sebagai PBT yang cekap,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini, hari ini. 

Mohd. Anis berkata, sumber hasil yang banyak akan me­ng­u­kuhkan lagi kedudukannya se­bagai PBT yang berfungsi me­lak­­sanakan tanggungjawab ber­­­asaskan keperluan pengguna dan permintaan projek urbanisasi semasa. 

Katanya, pelan pembangunan bandar baharu Islam di Tok Bali bernilai hampir RM1 bilion turut menjadi taruhan dalam menyedia­kan prasarana yang le­bih efisyen kepada pengguna selain menarik minat pelabur luar. 

“Sebelum ini, Aimfora Holdi­ngs Sdn. Bhd. memperuntukkan RM950 juta untuk membangunkan bandar Islam berkenaan bertaraf antarabangsa dalam tempoh lima hingga enam tahun akan datang di kawasan seluas 140 hektar. 

“Pembangunan bandar ini akan melibatkan penyediaan pusat kewangan Islam, pusat komersial, perumahan eksklusif dan kos sederhana, taman dalam bandar, pusat dan dataran ilmu, pusat komuniti Islam, masjid terapung serta hospital Islam,” katanya. 

Tambahnya, MDPP akan memastikan daerah itu menjadi bandar kedua terbesar selepas Kota Bharu jika kesemua projek-projek yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan jayanya. 

“Selain bandar Tok Bali turut dirancang ialah Bandar Baharu Cherang Tuli dan berhampiran Taman Perumahan Bukit Gedombak yang kini dalam proses penyediaan tapak oleh sebuah syaraikat yang terkemuka,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Kelantan | 19 Sept. 2016 | Terbitan 20 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan