Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 7 September 2016

IMSC pusat perubatan pertama di Pantai Timur tawar khidmat lasik mata

KUANTAN: Pusat Perubatan Pakar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IMSC) di sini menjadi pusat perubatan pertama di Pantai Timur yang menawarkan perkhidmatan 'Laser In-situ Keratomeleusis' (Lasik) mata.

Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Tan Sri Dr Rais Yatim berkata IMSC satu-satunya pusat perubatan di Pantai Timur yang memiliki kepakaran dalam bidang berkenaan di samping mempunyai kemudahan teknologi lasik yang canggih.

"Di sini ada kepakaran perubatan mata menggunakan pendekatan paling canggih dan ia menjadi satu daya tarikan dan khidmat tambahan istimewa di pusat perubatan ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat perubatan itu di UIAM di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi IMSC Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman dan Rektor UIAM Prof Datuk Seri Dr Zaleha Kamaruddin.

Mengenai operasi IMSC secara keseluruhannya, Rais berkata terdapat sebanyak 130 pakar perubatan yang berpengalaman dalam pelbagai bidang termasuk ortopedik, psikiatri, radiologi, neuro surgeri dan urologi.

Beliau berkata kos rawatan di pusat perubatan itu adalah berpatutan dengan jaminan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi akan diberikan kepada pesakit.

"Layanan yang diberikan ini mesti cukup mesra, bukan dibuat-buat tetapi mesra sentiasa dan terasa penjiwaannya kepada pesakit, itu penting," katanya.

Sehubungan itu, Rais yang juga penasihat kerajaan bagi hal ehwal sosial dan kebudayaan berkata bimbingan budi akan diadakan di pusat perubatan itu sebagai langkah mendidik warga kerja IMSC daripada pelbagai jawatan supaya mereka mengamalkan sikap positif ketika melayan pesakit.

Dalam pada itu, beliau berkata golongan kenamaan juga boleh memilih pusat perubatan berkenaan untuk mendapatkan rawatan dan layanan khusus tanpa perlu lagi ke luar negara untuk berubat.

Rais berkata ini kerana pusat perubatan berkenaan akan memastikan aspek kerahsiaan rawatan pesakit sentiasa dijaga dengan baik dan tidak dihebohkan kepada mana-mana pihak bagi menghormati hak peribadi mereka.

Katanya antara sebab kebanyakan golongan kenamaan pergi ke luar negara untuk mendapatkan rawatan adalah kerana menginginkan privasi dan kerahsiaan dalam rawatan mereka.

Pusat perubatan pakar itu yang menelan kos RM10 juta untuk ditubuhkan telah mula beroperasi pada 1 Sept lepas.

Sumber: Bernama | 6 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan