Pengunjung berpeluang mendapatkan pelbagai juadah tradisi sempena Kelantan Festival di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu, Kelantan, kelmarin. |
KOTA BHARU: Pesta makanan terbesar di negeri ini, Festival Kelantan kembali menemui orang ramai di pekarangan Stadium Sultan Muhammad Ke-IV di sini bermula semalam hingga 1 Oktober ini.
Festival anjuran Vinspire Sdn. Bhd. dengan kerjasama Pusat Penerangan Pelancongan (TIC) Kelantan itu merupakan edisi kedua dan kali ini menampilkan lebih 100 gerai yang menawarkan makanan Kelantan, Thailand dan Kemboja.
Antara juadah tradisi menarik yang boleh didapati ialah nasi kerabu, nasi dagang, nasi koamok, laksam, somtam, pulut mangga, pulut ayam, pulut durian, makanan laut kering serta pelbagai jenis jeruk.
Wakil penganjur, Joey Tong berkata, festival tersebut yang dibuka bermula 10 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari memberi peluang kepada orang ramai mendapatkan makanan tradisi kegemaran masing-masing pada harga berpatutan.
“Sebanyak 30 usahawan dari Thailand dan 16 usahawan Pasar Kemboja dari negeri-negeri di utara mengambil bahagian dalam festival kali ini. Selebihnya pula merupakan usahawan tempatan.
“Selain menikmati pelbagai makanan tradisi, orang ramai juga berpeluang membeli-belah pelbagai jenis barangan lain seperti pakaian, tudung dan cenderamata dengan harga cukup murah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Joey, di samping gerai jualan makanan sebagai tarikan utama, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai persembahan kesenian sebagai aktiviti sampingan bagi memeriahkan festival tersebut.
Antaranya kata beliau, persembahan gasing terbang, silat tari, wayang kulit, rebana ubi, kertuk, dikir barat serta demonstrasi pembuatan wau.
“Sempena Kelantan Festival 2016, kita turut menganjurkan pertandingan bergambar selfie terbuka kepada orang ramai. Mereka hanya perlu berkongsi gambar dengan hashtag #kelantanfestival di akaun Instagram dan Facebook masing-masing.
“Gambar terbaik mengenai Kelantan Festival dengan keterangan gambar paling kreatif berpeluang memenangi pakej percutian tiga hari dua malam ke Bangkok, Thailand,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | 24 Sept. 2016 | Terbitan 25 Sept. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan