KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersetuju untuk berkerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi pembinaan tambahan lebih 4,000 unit rumah di bawah projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Belia dan Sukan Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata langkah itu bagi memastikan lebih ramai penjawat awam di negeri ini dapat memiliki rumah.
"Kerajaan negeri beri komitmen untuk memberi kerjasama dan sokongan kepada PPA1M ini kerana ia akan memberi kemudahan kepada penjawat awam.
"Kita setuju beri sokongan dan kita turut minta supaya projek berkenaan dapat dijalin gabungkan dengan perumahan mampu milik yang kita buat di Kelantan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco kerajaan negeri di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.
Katanya, setakat ini, sebanyak 7,334 unit rumah di bawah projek tersebut telah dan sedang dibina di Kelantan yang mana dijual dengan harga antara RM90,000 dan RM300,000 sebuah, sebagaimana yang telah dilaksanakan kerajaan Persekutuan bagi projek sama di Kepong, Selangor.
Abdul Fattah berkata kerajaan negeri juga akan mengadakan perbincangan lanjut dengan kerajaan Persekutuan mengenai PPAIM untuk memastikan semua peringkat penjawat awam di Kelantan, termasuk berstatus kontrak berpeluang memiliki rumah.
Sumber: Bernama | 21 Sept. 2016
Tiada ulasan:
Catat Ulasan