Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 5 September 2016

Kompleks Jabatan Pendidikan manifestasi baharu bidang pendidikan di Kelantan

Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan
KOTA BHARU: Kompleks Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan di Tunjong di sini bakal menjadi manifestasi baharu dalam bidang pendidikan di negeri ini seiring dengan perkembangan sektor pendidikan negara.

Pengarah Jabatan Pendidikan Kelantan Datuk Ab Aziz Abdullah berkata kompleks yang dibina di tapak seluas 14.53 hektar dengan kos RM31.5 juta itu mula beroperasi sepenuhnya pada Jun 2014.

Beliau berkata enam sektor jabatan yang sebelum ini terletak di Jalan Doktor di pusat bandar raya Kota Bharu, kemudiannya dipindahkan ke kompleks terbabit.

"Enam sektor yang berpindah ke kompleks ini adalah Sektor Khidmat Pengurusan dan Pembangunan, Sektor Pengurusan Sekolah, Sektor Pengurusan Akademik, Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan, Sektor Jaminan Kualiti dan Sektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT)," katanya ketika berucap pada majlis perasmian kompleks itu hari ini.

Tengku Mahkota Kelantan Tengku Dr Muhammad Faiz Petra ibni Sultan Ismail Petra berkenan merasmikan kompleks berkenaan.

Ab Aziz berkata empat lagi sektor yang masih kekal di bangunan Persekutuan di pusat bandar raya ialah Sektor Penilaian Peperiksaan, Sektor Pendidikan Swasta dan Pendidikan Khas, Sektor Pendidikan Islam serta Sektor Psikologi dan Kaunseling.

Beliau berkata selain bangunan pentadbiran, turut disediakan ialah sebuah dewan dan surau untuk kemudahan orang ramai.

Katanya, kompleks itu juga dilengkapi beberapa insfrastruktur lain seperti padang bola sepak dan gelanggang tenis.

"Kewujudan kompleks ini membuktikan agenda pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan dan ini terbukti dengan kejayaan dalam bidang akademik dan kokurikulum sekolah-sekolah di negeri ini," katanya.

Sumber: Bernama | 5 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan