Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 18 September 2016

Orang Asli Tanah Tinggi Lojing dakwa pengusaha ladang sayur musnahkan kawasan tadahan air

GUA MUSANG: Kira-kira 600 penduduk Orang Asli di Kampung Jedip, Lojing di sini, menuntut sebuah syarikat yang mengusahakan ladang sayur di kawasan itu menyelesaikan masalah kawasan tadahan air bukit yang didakwa telah dimusnahkan oleh kegiatan perladangan itu.

Penduduk menyatakan mereka kini sukar mendapatkan bekalan air selepas syarikat tersebut didakwa telah memusnahkan semua kawasan tadahan dan punca air yang digunakan mereka sejak sekian lama.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JKKKOA) Isa Alang, 34, berkata syarikat berkenaan sebelum ini menjanjikan mencari punca air yang baharu selepas kawasan tadahan air dimusnahkan oleh kegiatan perladangan itu.

"Bagaimanapun sehingga sekarang syarikat berkenaan masih membisu hingga menyebabkan penduduk terpaksa mencari sumber air alternatif untuk kegunaan harian.

"Walaupun kawasan ini berdekatan Sungai Belatop namun sungai tersebut kini tidak lagi dapat digunakan kerana ia semakin kering, selain airnya yang berselut kerana bukit berdekatan digondol untuk ladang sayuran," katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut di sini, Khamis.

Hadir sama Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Ab Aziz Yusof yang turun padang bagi meninjau masalah penduduk Orang Asli di kawasan itu.

Seorang lagi penduduk, Akoh Angah, 41, pula berkata keselamatan penduduk yang tinggal di perkampungan itu juga kini terancam kerana bimbang berlaku tanah runtuh berikutan bukit berdekatan digondolkan syarikat pengusaha ladang sayuran pada Februari lepas.

"Apabila hujan lebat sudah tentu rumah kami akan dilanda banjir lumpur kerana air hujan akan terus mengalir turun ke kawasan kediaman," katanya.

Akoh berkata penduduk telah beberapa kali membuat aduan kepada kerajaan negeri namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Sementara itu Ab Aziz berkata kegiatan membuka tanah pertanian di kawasan Kampung Jedip semakin tidak terkawal berikutan pihak tidak bertanggungjawab menggondolkan bukit tanpa mengikut peraturan ditetapkan.

"Saya yang meninjau kawasan itu turut bersimpati dengan nasib Orang Asli di kawasan ini yang terdedah dengan tanah runtuh jika hujan lebat," katanya sambil menyatakan beliau akan mengambil perhatian dan tindakan perlu berhubung perkara itu.

Sumber: Bernama | 15 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan