Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 7 September 2016

Dua stesen minyak di Kota Bharu dan Bachok disamun dalam tempoh sejam

KOTA BHARU: Dua stesen minyak iaitu sebuah di Melor di sini manakala sebuah lagi di Jelawat, Bachok disamun dipercayai oleh sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjata pistol dalam kejadian awal pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Dr Ab Rahman Ismail berkata dalam kedua-dua kejadian itu suspek berjaya melarikan wang tunai serta pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM50,000.

Dalam kejadian pertama di stesen minyak di Melor, kira-kira pukul 3.30 pagi, sekumpulan tiga penyamun bertindak mengacu pistol di kepala seorang pengawal keselamatan yang bertugas di situ sebelum mengikatnya, katanya ketika dihubungi malam ini.

Beliau berkata pengawal keselamatan berusia 60 tahun itu dihampiri tiga lelaki ketika melakukan kawalan di stesen minyak terbabit yang menamatkan operasinya kira-kira pukul 12 tengah malam.

Mangsa yang tidak berdaya kemudiannya diikat manakala tiga suspek bertindak memecahkan pintu utama stesen minyak itu dan melarikan barangan termasuk minyak pelincir, katanya.

Sementara itu, dalam kejadian di Jelawat sejam selepas itu, sebuah stesen minyak turut disamun dipercayai oleh kumpulan yang sama.

Dalam kejadian itu, penyamun dikatakan turut memecahkan pejabat di stesen itu sebelum melarikan pelbagai barangan dan wang tunai.

Beliau berkata polis kini sedang mengesan kumpulan terbabit dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menyalurkannya kepada polis.

Sumber: Bernama | 6 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan