Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 4 September 2016

Kastam Kelantan buru 700 syarikat liat bayar GST

KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan sedang memburu 700 syarikat di negeri ini yang dikategorikan sebagai 'liat' membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Pengarah JKDM Kelantan, Mohd Nasir Yusoff berkata pihaknya melancarkan Operasi Strategi Lautan Biru Kastam (Ops CBOS) mulai Khamis lepas (1 Sept) hingga akhir Disember depan, bagi mengesan pemilik syarikat berkenaan.

"Hasil pemantauan yang dilakukan, kita dapati daripada 7,684 syarikat yang berdaftar, lebih kurang 1,000 sahaja syarikat yang aktif membayar cukai (GST)," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Ops CBOS peringkat Negeri Kelantan di sini, hari ini.

Mohd Nasir berkata sebagai permulaan, Ops CBOS yang dilaksanakan secara berperingkat itu, memfokuskan kepada 700 syarikat berkenaan yang terdiri daripada sektor perniagaan makanan, pembinaan, pembuatan dan peruncitan.

"Sebagai permulaan, kita mensasarkan 700 syarikat itu yang dipilih secara rawak dengan sasaran kutipan cukai sebanyak RM11 juta," katanya.

Beliau berkata tujuan lain Ops CBOS itu ialah bagi memberi kesedaran kepada orang berdaftar (peniaga) akan keseriusan JKDM dalam menguatkuasakan undang-undang khususnya yang berkaitan dengan GST.

"Kita akan menggunakan segala kepakaran yang ada di mana verifikasi akan dilakukan dan sekiranya wujud kes, tindakan akan diambil termasuk tuntutan di mahkamah," katanya.

Katanya pihak yang dikesan melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan mengikut Seksyen 46(1) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014 yang boleh membawa hukuman denda dan penjara.

Sumber: Bernama | 4 Sept. 2016

Tiada ulasan:

Catat Ulasan