Ahmad Yakob |
KUALA LUMPUR: Berbeza dengan pemimpin pembangkang lain yang mata hati mereka ditutupi sikap taksub kepartian, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob tampil memuji Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).
Malah tanpa berselindung, beliau yang diangkat sebagai Timbalan Mursyidul Am Pas menyifatkan rancangan Malaysia terakhir sebelum negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020 itu bersifat inklusif.
Pada masa yang sama, Ahmad turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan kerajaan Persekutuan kerana meluluskan tiga projek pembangunan di negeri Kelantan.
“RMK-11 ini bersifat inklusif dan menyeluruh, kita melihat sasaran yang ingin dicapai itu, insya-Allah akan menjadi kenyataan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lobi Parlimen di sini hari ini.
Dalam pada itu, menyentuh tentang program pembangunan di Kelantan, Ahmad berkata, projek jajaran Jalan Utama Tengah (CSR) dari Kuala Krai ke Simpang Pelangai, pembinaan tebatan banjir di Sungai Galas dan Lebir di Kuala Krai serta pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra akan melonjak negeri itu untuk sama-sama mencapai kemajuan menjelang 2020.
Menurutnya, keputusan Kerajaan Persekutuan itu juga membuktikan bahawa kepemimpinan Najib mengambil kira kepentingan semua negeri-negeri di Malaysia, meskipun ditadbir pembangkang kerana status negara maju tidak akan tercapai jika wujud negeri mundur.
“Ketiga-tiga projek pembangunan ini merupakan pemangkin untuk memajukan Kelantan yang saya sifatkan amat baik terutama jika kita melihat dari segi konteks masa depan untuk negeri Kelantan,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 21 Mei 2015 | Terbitan 22 Mei 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan