Azmy melihat anggotanya yang turut menderma darah. |
TUMPAT: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menafikan penduduk rimas dengan kehadiran anggotanya yang mengawal ketat sempadan, sebaliknya hubungan akrab terjalin antara penduduk di sempadan Sungai Golok.
Panglima 8 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Azmy Yahya berkata, selain tugas operasi, hubungan baik dengan masyarakat juga mustahak dan ia dapat dilihat apabila penganjuran program derma darah melibatkan penduduk di sempadan mendapat sambutan.
“Kita adakan program derma darah melibatkan penduduk kampung dan Pasukan Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Kem Bukit Kayu Hitam untuk erat hubungan dengan masyarakat.
“Melalui cara ini, secara tidak langsung kita boleh mendekati penduduk tempatan dan dapat maklumat penting untuk ATM laksanakan tugas,” katanya pada Program Derma Darah dan Jamuan Hari Raya di Pos Kula Jambu, di sini, semalam. Hadir sama, Adun Pengkalan Kubor, Mat Razi Mat Ail.
Dalam pada itu, Azmy berkata, masyarakat di sempadan juga perlu faham tugas tentera di kawasan berkenaan yang mempunyai tanggungjawab besar menjaga sempadan tersebut.
Menurutnya, masyarakat di sempadan juga perlu menyalurkan maklumat bagi membantu pihak berkuasa mengekang penyeludupan di sempadan.
Dalam perkembangan lain katanya, dua askar yang cedera ditembak di paha telah dibenarkan keluar hospital dan kini direhatkan untuk pemulihan di rumah.
Katanya, susulan insiden tembak itu, ATM terus mempergiatkan aktiviti mengawal sempadan, selain mengawasi kebolosan sempadan daripada kemasukan pendatang asing tanpa izin dan barangan seludup.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 26 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan