Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Sabtu, 25 Julai 2015

Kemudahan dan kepakaran Hospital Pasir Mas perlu dinaik taraf

Ahmad Fadhli (depan, dua kanan) bersama ahli jawatankuasa Pemuda Pas menziarahi keluarga Allahyarham Noorhaslinda Nordin di Kampung Sungai Tendong
PASIR MAS: Pemuda Pas Kawasan Pasir Mas menggesa kerajaan pusat mempertimbangkan cadangan untuk menaik taraf Hospital Pasir Mas di Kampung Lati, sesuai dengan pertambahan penduduk di daerah ini.

Ketuanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia bagi menampung keperluan yang meningkat dan mengelakkan kes kelewatan mendapatkan rawatan dalam kalangan pesakit berikutan kekurangan pakar serta peralatan.

“Pemuda Pas banyak menerima aduan masyarakat setempat yang kurang berpuas hati apabila pesakit terpaksa dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HPRZ II) di Kota Bharu ataupun Hospital Tanah Merah untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Rujukan lanjut ke hospital lain ini dibuat atas alasan Hospital Pasir Mas tidak mempunyai peralatan yang mencukupi bagi merawat pesakit kritikal dan serius," katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham Noorhaslinda Nordin di Kampung Sungai Tendong, Pasir Mas.

Allahyarham Noorhaslinda meninggal dunia pada Ahad lalu ketika umat Islam masih menyambut Hari Raya Aidilfitri selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kampung Kasa, Pasir Mas, dua hari sebelum menjelang Syawal.

Kunjungan Ahmad Fadhli yang juga Ketua Pemuda Pas Kelantan bersama rombongan Pemuda Pas Pasir Mas disambut oleh suami Allahyarham Noorhaslinda, Azman Abdullah.

Ahmad Fadhli berkata, Hospital Pasir Mas atau dikenali sebagai Hospital Lati telah mula beroperasi sejak 1985 iaitu 30 tahun lalu.

“Hospital ini memberikan perkhidmatan primer dan sekunder kepada lebih kira-kira 200,000 penduduk di dua kawasan parlimen iaitu Pasir Mas dan Rantau Panjang.

"Itu belum termasuk penduduk warga asing yang turut mendapatkan rawatan di hospital ini kerana kedudukannya berhampiran sempadan Malaysia-Thailand," katanya.

Justeru katanya, Hospital Pasir Mas wajar dinaik taraf, seiring dengan pertambahan penduduk di kawasan berkenaan.

"Antara pesakit yang terpaksa dipindahkan ke HPRZII akibat kekurangan pakar dan peralatan di Hospital Pasir Mas ialah Allahyarham Noorhaslinda.

"Kami kesal dengan keadaan ini. Kerajaan pusat diharap jangan hanya beri tumpuan negeri tertentu sahaja dan mengetepikan Kelantan dari aspek pembangunan kesihatan dalam Rancangan Malaysia ke-11," katanya.

Menurutnya, Kelantan khususnya Pasir Mas sepatutnya turut diberikan tumpuan, dan salah satu daripadanya ialah menaik taraf hospital yang ada demi kebaikan rakyat.
 
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 25 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan