Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 2 Julai 2015

Aidilfitri: Tiket bas ekspres ke Pantai Timur telah habis dijual


KUALA LUMPUR: Tiket-tiket bas ekspres bagi perjalanan ke Pantai Timur Semenanjung telah habis dijual seawal hujung Mei lalu berikutan cuti Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif, Sani Express Sdn. Bhd., Abu Bakar Mohammad berkata, bagi perjalanan ke Utara Semenanjung pula, tiket bas bermula 13 sehingga 16 Julai juga telah habis dijual.

Selain itu, Abu Bakar turut memberitahu, tiket-tiket bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur dari Kelantan terutamanya bagi tarikh antara 19 hingga 23 Julai juga telah habis dijual.

Bagaimanapun, beliau berkata, bagi destinasi lain seperti Terengganu dan utara Semenanjung ke Kuala Lumpur pula, tiket-tiket masih dijual seperti biasa.

Tiket bagi perjalanan ke Kelantan bagi tarikh 13, 14 dan 15 Julai telah habis dijual seawal hujung Mei lalu. Permintaan bagi tahun ini dilihat begitu tinggi mungkin kerana perkhidmatan kereta api terutama di Kelantan tergendala di sesetengah kawasan.

“Kami menjangkakan tiket-tiket akan habis menjelang seminggu sebelum Aidilfitri kerana penjualan sedang berjalan dengan pantas. Oleh itu pengguna dinasihati membeli tiket secepat yang mungkin sebelum terlambat,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata, pihaknya tidak bercadang untuk menambah jumlah bas sedia ada dan akan mengekalkan bilangan perjalanan bas seperti biasa.

“Sehingga kini, masih ada lagi permintaan tiket bagi destinasi seperti Kelantan dan Terengganu namun kami tidak bercadang untuk menambah bilangan bas sedia ada,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Perniagaan Konsortium Transnasional Bhd. (KTB), Mohd. Kamal Muda berkata, walaupun penjualan tiket masih berjalan seperti biasa, namun syarikatnya menjangkakan tiket akan habis dijual menjelang minggu ketiga Ramadan.

Katanya, KTB juga akan meningkatkan bilangan perjalanan bas sebanyak 15 peratus iaitu 600 sehingga 700 sehari dengan kuantiti bas sebanyak 400 buah.

“Ramai pengguna bas ekspres sudah mula mendapatkan tiket seawal minggu pertama Ramadan kerana khuatir akan kehabisan tiket bas terutamanya pada 16 dan 17 Julai ini.

“Setakat ini, tiket bagi ke destinasi seluruh Semenanjung masih ada tapi kami menggalakkan pengguna untuk membeli lebih awal supaya tiada isu kehabisan tiket menjelang hari raya nanti,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 1 Julai 2015 | Terbitan 2 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan