KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Terengganu akan menempatkan 90 pegawai dan anggotanya di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) bagi meningkatkan rondaan sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini.
Pengarahnya Abdul Rahman Emang Anyie berkata mereka akan menjalankan rondaan secara bergilir-gilir bermula pukul 10 malam hingga 3 pagi.
Katanya langkah itu bagi memastikan pengguna lebuh raya tersebut lebih peka dan berhati-hati ketika menggunakan laluan sepanjang 184 kilometer berkenaan.
"Sepanjang musim perayaan ini kawasan LPT antara lokasi yang diberi tumpuan berikutan jangkaan pertambahan kenderaan sepanjang tempoh itu.
"Selain itu ia juga dapat menaikkan tahap kesedaran pengguna jalan raya terhadap keselamatan dengan meningkatkan persepsi ditahan ketika melakukan kesalahan," katanya kepada pemberita di sini Khamis.
Abdul Rahman turut mengingatkan pemandu yang menggunakan lebuh raya tersebut agar berhati-hati dengan haiwan liar yang berkeliaran bagi menggelakkan insiden yang tidak diingini berlaku.
Katanya pihaknya juga akan meneruskan ops penyamaran pada musim perayaan ini sebagai penumpang bas atau orang awam bagi mencegah salah laku pemandu selain mengadakan pemeriksaan di depoh bas ekspres.
Sumber: Bernama | 9 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan