Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 22 Julai 2015

Kolej Astonians jamin peluang pekerjaan selepas tamat belajar

KOTA BHARU: Kolej Astonians yang menawarkan kursus kemahiran dalam bidang automotif, jahitan dan mekanikal, memberi jaminan kepada pelajar akan mendapat pekerjaan selepas tamat belajar.

Pengurusnya Rita Sarbani Ismail berkata pihaknya telah mengadakan perjanjian dengan beberapa agensi seperti Malaysian Automotif Institute, beberapa kilang dan butik sebagai peluang pekerjaan kepada lepasan pelajar kolej itu.

"Kita bukan setakat sediakan pelajaran, kita juga sediakan peluang pekerjaan yang berkaitan dengan bidang yang mereka pelajari," katanya kepada pemberita selepas Majlis Konvokesyen kolej itu di sini, hari ini.

Rita Sarbani berkata sebanyak 80 peratus daripada pelajar kolej itu setiap tahun akan mendapat pekerjaan selepas tamat kursus peringkat sijil dalam bidang masing-masing.

Beliau berkata pihaknya turut merancang untuk menambah bidang kemahiran iaitu dalam bidang minyak dan gas dalam masa terdekat ini.

"Memandangkan sambutan yang kita terima amat menggalakkan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jadi kita rancang untuk tambah bidang kursus yang baharu tetapi kita masih mengekalkan kualiti pelajar iaitu dengan menghadkan pengambilan pelajar bagi setiap sesi," katanya yang mempunyai 200 pelajar bagi setiap pengambilan.

Katanya, kolej tersebut turut mendapatkan status antarabangsa dan bakal membuka peluang kepada pelajar luar negara untuk menyertai kolej berkenaan dalam bidang yang ditawarkan.

Sementara itu, seorang graduan Asmira Abdullah @ Omar, 22, percaya minatnya dalam bidang kemahiran memberi masa depan yang cerah kepadanya.

"Selepas tamat SPM saya terus memilih untuk menceburi bidang mekanikal dan tanpa diduga selepas sebulan tamat belajar dalam bidang ini saya mendapat pekerjaan dan kini hampir tujuh bulan bekerja," katanya.

Sumber: Bernama | 22 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan