Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 14 Julai 2015

Pemandu diminta berhati-hati di 'blackspot' LPT

Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2)
KUANTAN: Sempena musim perayaan ini, para pemandu dan pengguna jalan raya dinasihat agar lebih berhati-hati ketika memandu di 30 lokasi 'blackspot' atau kawasan kerap berlaku kemalangan di Pahang.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani berkata tujuh dari 30 kawasan tersebut terletak di sepanjang laluan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT).

"Tujuh lokasi berkenaan ialah Kilometer (KM)203-204, KM208-209, KM211.9 di kawasan Kuantan, KM182-183, KM159-162 di kawasan Maran, dan KM905-105 serta KM117-118 di kawasan Temerloh," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas kempen bersepadu Keselamatan Jalan Raya dan OP Selamat 7/2015 sempena perayaan Aidilfitri di Plaza Tol Gambang, dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar Negeri merangkap Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri, Datuk Seri Mohd Soffi Abdul Razak.

Kempen tersebut turut disertai beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat.

Mengenai OP Selamat pada tahun ini Sharifuddin berkata ia melibatkan kekuatan 23 pegawai dan 254 anggota trafik di kesemua 30 'blackspot' berkenaan.

"Sepanjang operasi yang bermula pada 10 Julai sehingga semalam, sebanyak 179 kemalangan berlaku dalam tempoh tiga hari berbanding 180 kemalangan dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

"Ini bermakna berlaku penurunan sebanyak satu kes atau 0.6 peratus," katanya. Katanya, dalam tempoh itu juga sebanyak 1,052 saman telah dikeluarkan berbanding 2,843 saman dalam tempoh sama tahun lepas.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati di jalan raya serta merancang perjalanan agar dapat mengelak dari berlakunya kemalangan.

"Kita sasarkan 'sifar' kemalangan pada tahun ini, namun itu semua terletak di tangan pengguna sama ada mereka mampu mematuhi undang-undang dan mengikut saranan kempen keselamatan yang kita adakan," katanya. 
 
Sumber: Bernama | 13 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan