Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 1 Julai 2015

Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak pemangkin transformasi hidup - Najib

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak yakin pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak akan menjadi pemangkin transformasi kehidupan rakyat dan membawa pertumbuhan ekonomi yang pesat di negeri itu.

Perdana menteri berkata ia juga dapat merealisasikan usaha kerajaan melaksanakan pembangunan yang berpaksikan rakyat di Sarawak, memandangkan lebuh raya berkenaan merupakan penghubung bandar-bandar utama di negeri itu dan seterusnya bertemu dengan lebuh raya di Sabah.

"Impian saya untuk melihat pembangunan sama rata dan pengurangan jurang antara Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak semakin menjadi kenyataan.

"Insya-Allah kita akan berusaha melaksanakan projek ini bersama," katanya dalam catatan terbaharu blog www.najibrazak.com hari ini.

Pada Selasa, perdana menteri menyaksikan pemeteraian perjanjian pembinaan projek Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak sepanjang 1,090 kilometer di Sarawak melibatkan kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri Sarawak dan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) di Putrajaya.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Datuk Seri Zohari Akob, Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LBU Tan Sri Abang Ahmad Urai Hakim Abang Mohideen.

Turut hadir menyaksikan majlis menandantangani perjanjian itu ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

Fasa pertama pembinaan lebuhraya itu melibatkan jajaran sepanjang 773 kilometer yang dijangka dimulakan pada September ini.

Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak merupakan sebahagian daripada Lebuhraya Pan Borneo sepanjang 2,239 kilometer akan menjadi penghubung bandar-bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Menurut Najib, sebagaimana Projek Lebuh Raya Utara - Selatan (PLUS) telah membuka peluang pembangunan dan penambahbaikan perhubungan antara bandar di Semenanjung Malaysia, perkara sama boleh dicapai melalui pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo.

Pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo melibatkan kos keseluruhan RM27 bilion dan dijangka siap pada tahun 2020.
Sumber: mStar Online | 1 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan