KUALA LUMPUR: Perkhidmatan kereta api Aliran Pantai Timur (East Coast Line) telah mula beroperasi secara berperingkat-peringkat pada awal minggu ini oleh Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Perkhidmatan kereta api ulang-alik dari Kuala Krai ke Kemubu dan sebaliknya telah memulakan operasi sejak 12 Julai 2015 dengan kekerapan tiga kali sehari. Tren dari Kuala Krai ke Kemubu dijadualkan berlepas pada jam 05:00, 10:30, dan 17:00, manakala tren dari Kemubu ke Kuala Krai dijadualkan berlepas pada jam 08:00, 14:30, dan 20:00. Perjalanan dari Kuala Krai ke Kemubu dan sebaliknya mengambil masa kira-kira dua jam lima belas minit.
Sementara itu, perkhidmatan tren Ekspres Timuran dari Johor Bahru ke Gua Musang telah memulakan operasi pada 13 Julai 2015 dengan kekerapan sekali sehari.
Perkhidmatan Tren No. 2626 dari Johor Bahru ke Gua Musang dijadualkan berlepas dari Stesen Kereta Api JB Sentral pada jam 20:15 dan dijadualkan tiba di Stesen Kereta Api Gua Musang pada jam 09:10 pada hari berikutnya, manakala Tren No. 2727 dari Gua Musang ke Johor Bahru dijadualkan berlepas pada jam 22:30 dan dijadualkan tiba di Johor Bahru pada jam 11:30 pada keesokan harinya.
Penumpang yang perlu membuat perjalanan ke destinasi seterusnya seperti Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu, dan Tumpat akan dibawa dengan perkhidmatan bas yang telah disediakan oleh KTMB dari Stesen Kereta Api Gua Musang.
Manakala penumpang yang ingin melakukan perjalanan ke Johor Bahru atau stesen-stesen di Aliran Selatan (Southern Line) boleh menggunakan perkhidmatan bas yang disediakan bermula dari Stesen Kereta Api Tumpat dan seterusnya ke stesen-stesen kereta api Wakaf Bharu, Pasir Mas, Tanah Merah, dan Kuala Krai untuk dibawa ke Stesen Kereta Api Gua Musang sebelum meneruskan perjalanan dengan kereta api.
Kadar tambang masih sama seperti sebelum perkhidmatan kereta api ditamatkan buat sementara waktu sejak hujung tahun lepas disebabkan kerosakan landasan akibat banjir besar melanda Pantai Timur.
Bagi penumpang yang ingin ke Singapura pula, mereka boleh mengambil perkhidmatan kereta api ulang-alik Tebrau (Tebrau Shuttle) yang disediakan KTMB dari Stesen Kereta Api JB Sentral ke Stesen Kereta Api Woodlands, Singapura dan sebaliknya. Perjalanan hanya mengambil masa kira-kira lima minit sahaja.
Tiket-tiket boleh didapati di semua stesen kereta api utama dari Johor Bahru sehingga ke Tumpat dan pembelian tiket secara dalam talian boleh dibuat melalui laman sesawang www.ktmb.com.my.
Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com | 14 Julai 2015
Sumber: Gerbang KBBRI | www.kbbri.blogspot.com | 14 Julai 2015
Tiada ulasan:
Catat Ulasan